
SHAH ALAM – Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap Muslim Friendly Watch (MFW) kerana mengeluarkan label produk tersendiri seakan-akan akuan sijil halal sehingga boleh menilmbulkan salah faham dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, meskipun pertemuan dua hala sudah dibuat dengan pihak NGO itu sejak tahun lalu, namun tiada tindakan susulan dilakukan menyebabkan pelabelan Muslim Choice terus membayangi logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurutnya, tindakan NGO terbabit meletakkan label berkenaan dengan ketiadaan piawaian halal yang jelas akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
“Bagaimana kerajaan boleh membiarkan suatu badan lain membuat penilaian ‘halal’ dengan label Muslim Choice yang lebih kurang sama dengan Halal Malaysia?
“Tambahan lagi, sepatutnya hanya Jakim serta pihak majlis agama Islam negeri sahaja yang lebih berhak terhadap pengeluaran logo halal di Malaysia.
“Perkara sebegini tidak harus dibenarkan berlanjutan dalam masyarakat kerana ia hanya membawa kekeliruan, selain merendahkan piawaian halal yang telah ditetapkan pihak JAKIM selama ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, kriteria penetapan halal oleh MFW dengan pelabelan Muslim Choice itu tidak seiring dengan piawaian yang ditetapkan oleh Halal Malaysia di bawah Jakim.
“Bahkan, piawaian Halal Malaysia melalui Jakim juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, selain prosedur pensijilan halalnya juga telah diiktiraf,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Jakim untuk segera mengeluarkan kenyataan amaran rasmi kepada pihak MFW berhubung arahan tersebut.
Sumber: Sinar Harian





