80 Belia Rebut Gelaran Jaguh Rakan Muda

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SERAMAI 80 belia dari seluruh negara berentap dalam program realiti terbaharu, Jaguh Rakan Muda hasil kolaborasi antara Astro bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Program berkonsepkan pertandingan itu akan mula bersiaran pada 10 November ini dengan menampilkan pelbagai cabaran fizikal dan mental bagi merebut gelaran Jaguh Rakan Muda serta hadiah utama bernilai RM100,000.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, program realiti tersebut bertujuan untuk menonjolkan kehebatan dan potensi belia Malaysia, selain memberi inspirasi kepada penonton melalui kisah keberanian serta semangat berpasukan.

“Apabila kita berbincang dengan Astro mengenai konsep program realiti yang kedua ini, kita bayangkan ingin melahirkan kumpulan belia yang all-rounded. Mereka aktif, suka aktiviti fizikal dan rekreasi. Pada awalnya, kita jangka peserta-peserta ini terdiri daripada mereka yang berbadan sasa dan tinggi.

 “Namun, apabila saya hadir ke sesi penggambaran dan melihat sendiri finalis yang terpilih, saya terkejut melihat kekuatan sebenar bukan hanya terletak pada bentuk fizikal semata-mata. Kita ada gadis-gadis muda yang bertubuh kecil tetapi memiliki kekuatan luar biasa.

“Semangat kerjasama dan kepelbagaian inilah yang kita mahu raikan kerana diversity is strength,” katanya.

Tambah beliau, program berkenaan turut membuktikan bahawa setiap individu mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri yang mampu menyumbang kepada kejayaan bersama.

“Setiap individu mempunyai kelebihan masing-masing. Ada yang berbeza dari segi kaum, agama, saiz, kekuatan dan pengalaman hidup.

“Kita ada peserta dari Sabah, Sarawak, kumpulan OKU dan juga masyarakat Orang Asli. Apabila semua latar belakang dan pengalaman berbeza ini dikumpulkan, hasilnya ialah kemenangan bersama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, pihaknya komited untuk menghasilkan kandungan yang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia.

“Kerjasama dengan KBS mengukuhkan lagi peranan Astro dalam menyokong inisiatif nasional yang memperkasa generasi masa depan dan kami akan terus berusaha menghasilkan kandungan yang membawa impak tinggi kepada semua,” katanya.

Sesi uji bakat yang diadakan di seluruh negara merangkumi lima zon iaitu Utara (Pulau Pinang), Tengah (Kuala Lumpur), Pantai Timur (Terengganu) serta Sabah dan Sarawak.

Jaguh Rakan Muda menghimpunkan belia Malaysia berusia antara 13 hingga 30 tahun daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, jurulatih kecergasan, peserta ratu cantik, pencipta kandungan, atlet kurang upaya dan golongan profesional muda.

Menggabungkan elemen 10 Gaya Hidup Rakan Muda, rancangan itu menjadi platform melahirkan generasi belia yang bukan sahaja berani dan berdaya tahan, bahkan memiliki semangat kebersamaan serta kepelbagaian latar belakang yang mencerminkan kekuatan sebenar Malaysia.

Program Jaguh Rakan Muda akan menampilkan Mat Redho iaitu personaliti televisyen dan atlet kebangsaan sebagai pengacara utama.

Goh Liu Ying iaitu pemenang pingat perak Sukan Olimpik yang juga ikon badminton negara dan pelakon, Ain Edruce tampil sebagai pengulas.

Sepanjang siri berkenaan, beberapa pengulas jemputan turut akan ditampilkan termasuk Intan Serah, Bang Med, Que Haidar dan Denes Kumar yang mana masing-masing akan memberikan pandangan unik terhadap perjalanan pertandingan.

Jaguh Rakan Muda akan mula bersiaran pada 10 November ini, setiap Isnin jam 9 malam di Astro Ria (CH 104), 9.30 malam di Astro AEC (CH 306) dan 11.30 malam di Astro Vinmeen (CH 202).

Sumber: Sinar Harian