
Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggempur lokasi tumpuan ‘mat rempit’ bawah umur yang menjadikan jalan raya di Taman Koperasi Polis Fasa 1 dan 2 di sini, sebagai litar uji motosikal mereka.
Selain menguji kepantasan, kumpulan ini yang rata-rata berusia 13 hingga 17 tahun itu juga didapati melakukan tunggangan secara berbahaya dan membuat bising di kawasan sekitarnya.
Operasi penguatkuasaan bermula 5.30 petang semalam itu turut disertai oleh 16 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi berkenaan memeriksa 277 motosikal dengan 546 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan, dan 65 motosikal disita untuk tindakan lanjut.
“Ketika operasi, kita mengesan mereka ini menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi seperti wheelie, superman, tunggangan zig-zag dan perlumbaan haram yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Bukan sahaja tidak memakai topi keledar malah mereka ini tidak mempunyai lesen memandu (CDL),” katanya pada sidang media Operasi Satria Jalanan di sini, malam tadi.
Menurutnya, daripada jumlah pemeriksaan dijalankan, 53 remaja berusia bawah 16 tahun menunggang motosikal.
“Pihaknya memandang serius 53 kes penunggang di bawah umur yang dikesan. Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap individu berumur bawah 16 tahun yang menunggang motosikal, yang membawa hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.
“Kami juga memberi amaran kepada pemilik motosikal atau ibu bapa yang boleh dikenakan tindakan kerana membenarkan individu tanpa lesen menggunakan kenderaan mereka,” katanya.
Hamidi berkata, dalam operasi berkenaan, kesalahan tiada lesen memandu (CDL) dikesan sebagai kesalahan tertinggi dengan 122 notis saman dikeluarkan.
“Selain tiada lesen memandu, beberapa kesalahan utama lain turut di kesan, antaranya tiada lesen kenderaan motor (LKM) / tiada cukai jalan (90 kes); tiada perlindungan insurans (85 kes); kesalahan lain-lain (termasuk tidak memakai topi keledar) (75 kes); memandu bawah umur (53 kes) dan kesalahan ubah suai (42 kes).
“Ada antara mereka juga menghabiskan wang ribuan ringgit dengan menukar eksoz, mengubah suai enjin dan pelbagai ubahsuai yang mengganggu struktur asal kenderaan,” katanya.
Katanya, operasi ini juga dijalankan bersempena sambutan World Day of Remembrance for Road Traffic Victims (WDoR) 2025.
“JPJ menegaskan komitmennya untuk meneruskan penguatkuasaan secara berterusan tanpa kompromi demi memastikan keselamatan di jalan raya,” katanya.
Sumber: metro





