Banjir Bukan Sekadar Musibah, Perlu Tindakan Tegas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SETIAP tahun, drama sama berulang. Hujan lebat, air naik, rumah tenggelam, jalan ditutup.

Merak Jalanan tertanya-tanya, sampai bila rakyat Malaysia harus jadi penghuni musim banjir setiap kali hujan turun? Sampai bila kita akan terus ‘menelan’ air mata dan kehilangan harta benda serta nyawa?

Dari segi kewangan, kerugian akibat banjir tidak boleh dipandang enteng. Statistik rasmi menunjukkan negara menanggung kerugian sebanyak RM933.4 juta pada tahun 2024, merangkumi kerosakan kediaman, infrastruktur awam, sektor pertanian dan perniagaan.

Angka ini bukan sekadar kos, tetapi petanda betapa rapuhnya sistem perumahan dan saluran longkang negara dalam menghadapi ujian alam.

Rakyat pula akan terus jadi mangsa setiap musim tengkujuh. Rumah dinaiki air, longkang tersumbat, saliran air tidak terurus, tetapi bila hujan reda, semua kembali seperti biasa.

Tanpa tindakan tegas, tanpa perancangan sistematik, banjir akan terus berulang.

Kerajaan perlu memperkukuh sistem amaran banjir dan mempercepat rangka kerja infrastruktur, baik pulih saliran, bina takungan air dan sistem pertahanan banjir yang mampan.

Selain itu, peruntukan lebih besar harus diagihkan kepada komuniti supaya setiap kawasan berisiko mempunyai pusat pemindahan yang selesa dan lengkap.

Kepada penduduk di zon berisiko tinggi, bila amaran Monsun Timur Laut dikeluarkan, mesejnya jelas, bersiap sedialah dari sekarang.

Pertama, sediakan kit banjir, termasuk dokumen penting dalam beg kalis air, stok makanan asas, ubat-ubatan dan lampu kecemasan.

Kedua, ikut peringatan dan amaran awal dengan serius, jika diarahkan berpindah, jangan berlengah. Ketiga, pertimbangkan insurans banjir sebagai satu perlindungan kewangan jangka panjang.

Banjir bukan sekadar musibah, ia ancaman tahunan yang semakin menuntut tindakan tegas.

Sumber: Sinar