Tebing Runtuh Belakang Rumah Buat Penghuni Resah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: “Sudah dua malam kami tiga beranak tidak dapat tidur lena dan berdebar setiap kali dengar bunyi pergerakan tanah,” kata Harniza Yaacob, 54, susulan runtuhan tebing di belakang rumahnya di Kampung Gaung, Pendek di sini.

Menurut Harniza, kejadian yang berlaku jam 1 pagi semalam mengejutkan keluarga apabila terdengar dentuman kuat dari arah belakang rumah sebelum mendapati sebahagian tebing runtuh susulan hujan lebat sejak Jumaat lalu.

Katanya, runtuhan yang berlaku itu adalah kejadian kedua selepas insiden pada Jun lalu dan kini jarak antara bahagian dapur dengan tebing runtuh hanya tinggal tiga meter, manakala jarak tebing dengan sungai pula sekitar 30 meter.

“Hujan lebat sejak beberapa hari ini menyebabkan tanah semakin lembut serta berlaku pergerakan dan setiap hari kami berada dalam kebimbangan sekiranya tebing itu terus mendap dan ‘menarik’ rumah ini sekali.

“Saya juga mengambil inisiatif memasang kanvas pada bahagian tanah yang terhakis bagi mengurangkan kesan runtuhan tanah apabila hujan.

“Sebelum ini, ada rakan dan saudara terdekat minta kami berpindah, namun kami terpaksa bertahan kerana ini sahaja kediaman yang kami ada selain kekangan kewangan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, pergerakan tanah berlaku setiap kali musim tengkujuh dan runtuhan tebing mula berlaku pada November tahun lalu.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada membina benteng pada Jun tahun lalu bagi mengurangkan risiko runtuhan, namun keadaan tanah yang lembab setiap kali musim tengkujuh masih menyebabkan pergerakan tanah terus berlaku.

“Aliran air deras dari bawah tanah mengakibatkan gelinciran tebing sungai dan beberapa aliran mata air boleh mempercepatkan lagi runtuhan tanah,” katanya.

Harniza yang juga ibu tunggal berkata, selepas arwah suaminya, Ismail Mohd Naim meninggal dunia pada tahun 2003 disebabkan masalah jantung, dia kini tinggal bersama anak ketiganya, Rohadatul Athirah Ismail, 30, serta seorang cucu orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down, Mohd Nuh Iman Fariz berusia setahun.

“Saya tidak tahu nasib kami sekeluarga kerana sejak kebelakangan ini ada gelinciran tanah berikutan aliran sungai deras terutama ketika air pasang.

“Kini hanya berharap ada tindakan segera daripada pihak berkuasa untuk menyelamatkan rumah yang yang didiami sejak 2008 sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan demi keselamatan kami sekeluarga,” katanya.

Sumber: Harian Metro