
Terengganu bakal menggegarkan pentas sukan lasak dunia apabila pasukan GG 4X4 yang berpangkalan di kampung Binjai Bongkok, Marang melangkah berani ke Rainforest Challenge (RFC Grand Final 2025).
Perlumbaan ekstrem pacuan empat roda ini bukan sekadar pertandingan, tetapi medan membuktikan keupayaan anak tempatan menyaingi jaguh antarabangsa.
Selama 10 hari, perlumbaan berprestij ini akan menguji ketahanan jentera dan mental peserta, bermula di Sungai Buloh, Selangor hujung minggu ini sebelum berakhir di Gua Musang, Kelantan pada awal Disember.
GG 4X4 mempertaruhkan jentera klasik Land Rover Defender Series 3 88, dipandu oleh Tengku Khairul A Rahman bersama juruarah muda berusia 22 tahun, Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili.

“Kami sedar kami bukan pasukan besar, tetapi keyakinan tetap ada untuk memberi cabaran kepada pelumba antarabangsa. Malaysia sebagai tuan rumah memberi sedikit kelebihan dari segi bentuk muka bumi, namun faktor cuaca menjadikan perlumbaan ini terbuka untuk semua,” kata Tengku Khairul yang semakin menyerlah dalam arena sukan lasak.
Bagi Nasrul Aiman, penampilan sulung sebagai juruarah di pentas RFC antarabangsa bukan alasan untuk berundur.
“Debaran itu ada, tetapi saya percaya pengalaman bersama pasukan sejak awal cukup untuk saya bantu memburu podium. Saya berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan,” ujarnya penuh semangat.
Misi GG 4X4 turut mendapat sokongan Tourism Terengganu yang melihat penyertaan ini sebagai peluang mengangkat sukan permotoran sebagai produk pelancongan negeri.
“Sukan lasak seperti ini berpotensi menjadi tarikan pelancongan. Penyertaan GG 4X4 bukan sahaja membawa nama Terengganu, malah berperanan sebagai duta pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” jelas Pengarah Tourism Terengganu, Hilman Hajijan yang ditemui sewaktu menyempurnakan majlis ‘flag-off’ di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.
RFC yang kini memasuki edisi ke-29 sejak 1997 terus menjadi medan pertemuan pelumba dari seluruh dunia.
Tahun ini, siri perlumbaan telah berlangsung di Turkiye, Jepun, Colombia, Poland dan India sebelum Malaysia menjadi destinasi terakhir untuk menutup tirai musim.
Acara pembukaan ‘Prologue SS’ akan berlangsung Sabtu ini di Lembah Peladang Agro Park, Sungai Buloh, sebelum peserta menempuh cabaran sebenar menuju Gua Musang, Kelantan pada 1 Disember nanti.





