
KEMAMAN – Yayasan Terengganu (YT) berhasrat menutup Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) di Chukai, di sini yang telah memberi peluang pendidikan kepada anak kurang berkemampuan sejak tahun 1986 secara berperingkat bermula tahun depan.
Pengarah YT, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, penutupan AYTK tersebut bagi memberi ruang kepada pembukaan Sekolah Menengah Imtiaz (Swasta).
Beliau berkata, penutupan asrama tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga YT baru-baru ini.
“Keputusan ini dibuat bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa, khususnya bagi memenuhi permintaan ke Sekolah Imtiaz yang kini mencecah hampir 5,000 permohonan setiap tahun.
“Sebelum ini, penempatan asrama di bawah pengurusan Yayasan Terengganu seperti AYTK di beberapa daerah lain di negeri ini turut dinaik taraf dan ditukarkan sepenuhnya kepada Sekolah Menengah Imtiaz,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial surat makluman penutupan operasi AYTK secara berperingkat sehingga Jun tahun depan yang diedarkan YT kepada ibu bapa pelajar terlibat.
Ahmad Farhan berkata, tapak AYTK Kemaman yang mempunyai tanah kosong seluas lebih empat hektar berpotensi untuk membina sebuah Sekolah Menengah Imtiaz (Swasta) yang mampu menampung kapasiti antara 700 hingga 800 pelajar.
Sumber: Kosmo





