
BACHOK – Buih berwarna kemerahan yang timbul di permukaan air laut menjadi petanda kehadiran ikan belanak di pesisir pantai Bachok ketika musim tengkujuh.
Penduduk, Syukri Che Abdul Hamid, 51, berkata, ilmu orang pantai itu dimanfaatkan penduduk tempatan untuk menangkap ikan belanak di gigi air walaupun berdepan ombak besar dan arus deras.
Menurutnya, aktiviti menyauk ikan belanak sudah menjadi hobinya sejak lebih 10 tahun lalu meskipun sedar akan risikonya.
“Apabila ikan belanak ada, kita boleh nampak buih merah di permukaan air. Dekat sikit, nampak macam butir buah getah terapung.
“Ikan ini makan buih, kepalanya akan timbul di permukaan air. Sekali sauk, kalau kena, boleh dapat lima, 10 hingga 20 ekor,” katanya ketika ditemui di pesisir Pantai Damak di sini baru- baru ini.
Syukri yang juga seorang peniaga air tebu berkata, ikan belanak biasanya naik ke pesisir pantai ketika air pasang pada paras antara 0.4 meter hingga satu meter, khususnya pada waktu pagi dan petang.
“Kalau air surut atau waktu malam, memang tak ada ikan. Waktu air pasang saja ikan belanak ikut naik rapat ke pantai,” katanya.
Menurutnya, pada waktu itu, penduduk akan menyauk ikan belanak di sepanjang pantai bermula dari Kuala Kemasin hingga ke Pantai Irama, bergantung kepada keadaan ombak dan arus pada hari berkenaan.
“Mengenai sauk, ada yang buat sendiri dan ada juga beli sekitar RM80 setiap satu.
“Sauk ini dibuat daripada kayu nibung dan batangnya dari kayu jenis ringan supaya senang dikawal apabila ombak tolak,” katanya.
Bagi Mohd Tarmizi Che Yusoff, 42, aktiviti menyauk ikan belanak memerlukan pengetahuan mendalam tentang selok-belok pantai, terutama bahaya paluh atau lekuk dalam air.
“Kawasan di sini memang ada paluh walaupun dekat pantai.”
“Kalau air pasang, ombak akan tolak kita ke darat. Tapi kalau air surut, itu yang bahaya sebab arusnya boleh tarik ke tengah laut,” ujarnya yang bekerja sebagai juruteknik pendawaian elektrik.
Mohd Tarmizi berkata, sebab itulah hanya lelaki dan orang tempatan sahaja yang berani menyauk dan tidak bagi wanita kerana risikonya terlalu tinggi.
Menurutnya lagi, baru dua tahun dia belajar menyauk ikan belanak dan mengakui pandai membuat sendiri alat menyauk hasil tunjuk ajar rakan- rakan sekampung.
Sementara itu, seorang nelayan, Zulaiman Ma-il, 54, berkata, aktiviti menyauk ikan belanak menjadi sumber pendapatan penting ketika musim tengkujuh apabila nelayan tidak dapat turun ke laut.
“Kalau waktu air pasang dan ikan ada, bolehlah turun menyauk.”
“Ada masa dapat sikit, dua atau tiga kilogram, tapi kalau rezeki banyak boleh dapat 10 hingga 20 kilogram,” katanya.
Dia memberitahu, aktiviti menyauk bermula sekitar jam 10 pagi dan berhenti menjelang waktu Zuhur sebelum disambung semula selepas tengah hari jika air kembali pasang.
“Lewat petang dan malam memang tak menyauk sebab ombak terlalu besar. Saya sudah terbiasa dengan risiko paluh sejak kecil dan pernah selamatkan seorang penyauk yang ditarik arus,” katanya.
Tambahnya, ikan belanak yang disauk dijual pada harga RM5 sekilogram, lebih murah berbanding harga pasaran biasa iaitu RM8 sekilogram.
“Bolehlah tampung perbelanjaan keluarga sementara tunggu habis musim tengkujuh ini,” katanya.
Sumber: SINARHARIAN





