‘Suspek Masih Ambil Anak Saya Dari Sekolah Selepas Makcik Hilang’ – Anak Saudara Suri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Keluarga Suri Narudin mendedahkan suspek utama dalam kes kehilangan wanita itu merupakan individu yang sudah lama dikenali dan dipercayai oleh keluarga.

Anak saudara mangsa yang mahu dikenali sebagai Sasha, 38, berkata, lelaki berusia 51 tahun itu sudah berkenalan dengan keluarga sejak kira-kira enam tahun lalu dan sebelum ini disifatkan sebagai seorang yang berkelakuan baik serta disenangi kanak-kanak.

Menurutnya, suspek turut pernah diamanahkan mengurus hal keluarga termasuk mengambil kanak-kanak dari sekolah.

“Saya membayar dia untuk menjemput anak-anak saya dari sekolah dan selepas makcik saya hilang, dia masih datang mengambil dua anak perempuan saya seperti biasa.

“Ketika itu kami tidak mengesyaki apa-apa kerana dia bertindak seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya pada Sabtu.

Sasha berkata, kali terakhir dia bertemu ibu saudaranya itu adalah pada 5 Disember lalu sebelum mereka hanya berhubung melalui media sosial.

Katanya, usaha menghubungi mangsa gagal bermula 8 Disember dan perkara itu menimbulkan kebimbangan keluarga kerana Suri dikenal pasti aktif di media sosial dan lazimnya memberi maklum balas segera setiap kali dihubungi.

Menurut Sasha, kecurigaan mula timbul apabila suspek memberikan penjelasan yang tidak konsisten apabila ditanya mengenai keberadaan mangsa.

“Dia memberitahu makcik saya dihantar orang lain ke lapangan terbang dan cerita itu berubah-ubah,” katanya.

Mengulas laporan yang menyatakan mangsa dan suspek adalah pasangan suami isteri, Sasha menegaskan dakwaan itu tidak tepat.

“Sehari selepas saya membuat laporan polis, anak suspek juga membuat laporan polis dan dalam laporan itu menyatakan mereka sudah berkahwin.

“Namun berdasarkan pengetahuan keluarga, mereka tidak pernah berkahwin dan hanya teman lelaki,” katanya.

Sasha berkata, hubungan mangsa dan suspek rapat dan mangsa sering berkongsi cerita peribadi, namun kebanyakannya berkaitan isu biasa dalam perhubungan.

Mengulas kemungkinan berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek, Sasha berkata, perkara itu ada berlaku namun tidak pernah berada pada tahap serius.

Ada perselisihan faham sekali sekala, mungkin berkaitan kewangan, tetapi saya tidak berani mengulas lebih lanjut.

“Makcik saya jarang berkongsi masalah besar, cuma sesekali mengadu apabila berlaku pertengkaran kecil,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mayat wanita berkenaan disyaki berkaitan kes orang hilang yang dilaporkan di Balai Polis Ampang Jaya, Selangor.

Susulan laporan tersebut, pada 18 Disember, satu laporan diterima di Balai Polis Pedas, Rembau, sebelum pihak polis bergegas ke sebuah rumah di Jalan Pedas–Linggi untuk pemeriksaan dan menemui sebuah beg berisi mayat seorang wanita yang ditanam.

Berikutan itu, pada hari yang sama, polis telah menahan seorang lelaki di Melaka yang disyaki mempunyai kaitan dengan penemuan mayat wanita tersebut.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 25 Disember bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: SINARHARIAN