Di Usia Tiga Tahun, Arisya Sudah Hilang Sebelah Buah Pinggang Akibat Kanser

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sik : Usianya baru tiga tahun tetapi Siti Nur Arisya Humairah Muhammad Azri kini hanya mempunyai sebelah buah pinggang apabila buah pinggang kanannya rosak disebabkan kanser ‘Right Wilms Tumor’ (Nephroblastoma) tahap empat yang dihidapinya sejak tahun lalu.

Kanser ini jarang berlaku dan biasanya dihidapi pada kanak-kanak berusia di bawah lima tahun yang berlaku antara buah pinggang kanan atau kiri malah boleh berlaku pada kedua belah buah pinggang.

Bagaimanapun kanak-kanak itu masih mampu bergerak lincah bermain bersama abang dan kakaknya setiap hari seolah-olah tidak sakit.

Ibunya, Ummi Khalsom Ishak, 33, berkata, anak bongsu dari tiga beradik itu pada mulanya dikesan menghidap kanser sejak berusia tujuh bulan apabila dia kerap mengalami kembung perut.

Katanya, dia yang menyangka anaknya kembung perut biasa hanya menyapu minyak angin untuk meredakan kesakitannya.

“Namun tidak lama selepas itu, Arisya kerap demam dan ketika itu saya membawanya menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan berhampiran tetapi dimaklumkan anak saya demam biasa.

“Ketika usianya 11 bulan, suami nampak perubahan pada anak kami apabila perutnya nampak tinggi sebelah dan dia yang ketika itu berjalan dalam keadaan kaki senget sebelah.

“Kami membawanya menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta dan doktor menjalankan ujian imbasan dan mengesyaki anak saya mempunyai ketumbuhan sama ada hati atau buah pinggang, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Terendam, semalam.

Ummi Khalsom berkata, doktor kemudian meminta dia membawa anaknya menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Katanya, ketika itu dia dan suami, Muhammad Azri Sharif, 34, terpaksa berulang-alik ke HSB membawa anak mereka bertemu pakar.

“Ketika itu kereta kami rosak tetapi kami redah juga ke Alor Setar demi rawatan untuk anak tersayang tetapi lepas itu minta bantuan adik ipar untuk pinjam kereta ke hospital.

“Masa itu doktor cakap anak saya perlu menjalani pembedahan segera tetapi disebabkan kedudukan tumor itu di buah pinggang kanan, pembedahan tidak boleh dibuat kerana berisiko.

“Rutin harian kami ketika itu hanya berulang-alik ke hospital sehinggalah anak saya mengalami kencing berdarah, memang saya risaukan keadaannya ketika itu,” katanya.

Ummi Khalsom berkata, doktor kemudian meminta dia merujuk kes anaknya itu ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 32 pusingan dan 14 kali radioterapi di sana.

Katanya, lebih menyedihkan apabila buah pinggang kanan anaknya akhirnya terpaksa dibuang melalui pembedahan tahun lalu dan kini Arisya hanya bergantung pada buah pinggang kiri.

“Selepas menjalani kemoterapi, keadaannya makin baik dan pergerakannya lincah seperti kanak-kanak lain tetapi kami perlu membawanya ke HSB dan HPP dengan jarak yang jauh dari rumah.

“Saya pula kini sedang hamil sembilan bulan dan tidak bekerja manakala suami pula hanya bekerja mengambil upah menebang buluh bergantung pada permintaan, ” katanya.

Menurutnya, anak sulungnya, Muhammad Aiman Naufal Muhammad Azri, 6, akan memasuki persekolahan tahun satu bulan depan manakala anak keduanya, Siti Nur Aisyah Safiya, 5, akan memasuki prasekolah

Katanya, dengan keadaan anak mereka sakit mereka sebelum ini terpaksa berhutang dengan kawan dan ahli keluarga kerana tidak mampu membayar kos rawatan anak di hospital serta kos ulang-alik.

“Namun sejak mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapatlah kami guna wang untuk membawa anak ke hospital.

“Kami sekeluarga tinggal bersama emak, Siti Zabedah Shaari, 67, yang sudah uzur dan menghidap penyakit darah tinggi dan sepanjang saya menjaga anak di hospital, emak yang jaga anak-anak saya di sini,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Ummi Khalsom di talian 0135278537.

Sumber : HARIAN METRO