
KUALA NERUS, 8 Januari – Keberanian dan keyakinan diri anak-anak menjadi tumpuan utama dalam Pertandingan Hafazan dan Azan Peringkat DUN Tepoh yang berlangsung bersempena cuti persekolahan baru-baru ini.
Pertandingan tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan daripada kanak-kanak dan remaja setempat berusia antara 7 hingga 17 tahun, sekali gus membuktikan minat yang tinggi terhadap pengisian program berbentuk ilmu dan kerohanian.
Ahli Dewan Undangan Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, menyatakan rasa bangga terhadap keberanian para peserta yang tampil ke hadapan mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran serta melaungkan azan dengan penuh yakin.
“Melihat
keberanian anak-anak kita tampil ke hadapan, memegang mikrofon dengan penuh
keyakinan, serta mengalunkan ayat-ayat suci dan azan, ia memberikan satu
perasaan bangga yang luar biasa.
“Syabas saya ucapkan kepada semua peserta. Bagi saya, anda semua adalah
juara,” katanya.
Beliau berkata, cuti persekolahan seharusnya dimanfaatkan dengan aktiviti yang bukan sahaja mengisi masa lapang, malah mampu membina keyakinan diri, meningkatkan ilmu serta membentuk jati diri anak-anak sebagai persediaan kembali ke alam persekolahan.
“Matlamat kita bukan sekadar menang atau kalah, tetapi untuk melatih anak-anak agar berani berhadapan dengan khalayak ramai sejak dari bangku sekolah,” jelasnya.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu tidak seharusnya terhenti setakat ini sahaja, sebaliknya akan diperluaskan secara berterusan.
“Insya-Allah, kita berhasrat menjadikan program ilmu seperti ini sebagai aktiviti bulanan dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan latihan
berterusan bagi menggilap potensi sedia ada dalam kalangan anak-anak, khususnya
dalam aspek tajwid dan taranum.
“Melalui pertandingan ini, anak-anak dapat
mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam bacaan. Teruskan merujuk kepada para
asatizah dan imam bagi memastikan mereka terus cemerlang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu
bapa yang sentiasa memberi sokongan terhadap minat dan penglibatan anak-anak
dalam program keagamaan.
“Paling utama, terima kasih kepada ibu bapa
yang sentiasa menyokong minat anak-anak.
“Insya-Allah, penglibatan mereka akan
dihargai melalui sijil penyertaan yang boleh membantu penilaian markah
kokurikulum pada masa akan datang,” katanya lagi.
Sumber: TRDI





