
MUNICH: Bayern Munich membelasah Wolfsburg 8-1 untuk melebarkan jurang di puncak Bundesliga ketika saingan bersambung selepas rehat musim sejuk.
Dua gol sendiri luar biasa VfL Wolfsburg serta dua jaringan pemain terbaik perlawanan, Michael Olise menyumbang kepada kemenangan selesa tuan rumah.
Juara bertahan itu, yang kekal tanpa kalah dalam kempen liga musim ini, kini mengumpul 44 mata, 11 mata di hadapan Borussia Dortmund di tangga kedua.
RB Leipzig berada di tangga ketiga pada 29 mata dan beraksi kurang satu perlawanan, setara dengan Bayer Leverkusen serta VfB Stuttgart di kedudukan kelima.
“Keputusan seperti ini bukan sesuatu yang normal, ia bukan perkara yang boleh diambil mudah dan kita tidak boleh melupakannya.
“Separuh masa pertama memang tidak mudah. Tetapi saya rasa apabila mereka mula keletihan, kami akan mencipta lebih banyak peluang – dan itulah yang berlaku pada separuh masa kedua” kata pengendali Bayern, Vincent Kompany.
Bayern tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila hantaran lintang rendah Luis Diaz ditampan oleh pertahanan Wolfsburg, Kilian Fischer, ke gawang sendiri pada minit kelima.
Ia adalah perlawanan liga ketiga berturut-turut Wolfsburg menjaringkan gol sendiri, sekali gus mencatat rekod Bundesliga.
Namun, pelawat bangkit dengan baik apabila Dzenan Pejcinovic menyudahkan hantaran kemas untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-15.
Diaz kemudian muncul sebagai penjaring pada minit ke-30 apabila menanduk masuk hantaran Olise bagi gol liga kesembilannya musim ini, mengembalikan kelebihan kepada tuan rumah. Olise kini pendahulu bantuan gol liga dengan sembilan umpanan.
Pemain Perancis itu seterusnya mencatat nama sebagai penjaring dengan rembatan lencong bagi gol kelapannya musim ini, sebelum Wolfsburg menambah derita dengan gol sendiri keempat dalam tiga perlawanan liga terakhir apabila Moritz Jenz tertolak bola ke jaring sendiri hasil hantaran lintang Olise pada minit ke-53.
Olise hampir menambah koleksi gol pada minit ke-64 namun rembatannya terkena tiang, sebelum Bayern meledak dua lagi gol dalam tempoh 80 saat menerusi pemain gantian Raphael Guerreiro dan penjaring terbanyak Bundesliga, Harry Kane.
Rekod cemerlang Bayern di gelanggang sendiri menentang Wolfsburg terus kekal, dengan mereka belum pernah tewas dalam Bundesliga, memenangi 27 daripada 29 perlawanan dan dua lagi berakhir seri.
Olise melengkapkan persembahan gemilangnya dalam penampilan Bundesliga ke-50 bersama Bayern dengan gol kedua peribadi pada minit ke-76, sebelum Leon Goretzka yang dimasukkan sebagai pemain gantian menjaringkan gol pada minit ke-88 untuk melakar kemenangan terbesar Bayern ke atas Wolfsburg.
Sumber : BERITA HARIAN




