
KUALA LUMPUR: Dua lelaki maut, tercampak ke bawah Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) selepas lori treler dinaiki terbabas berhampiran Kilang Ceramic Pro, Jalan Empat, Jalan Chan Sow Lin, di sini, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGO KL) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.55 malam dan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu bergegas ke lokasi membabitkan kekuatan sembilan anggota.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Nur Zahela Mohamad Zainal berkata, setibanya pasukan, didapati berlaku kemalangan membabitkan lori treler.
“Lori berkenaan melanggar batu penghadang konkrit yang mengakibatkan dua mangsa lelaki tempatan iaitu pemandu dan kelindan tercampak ke bawah lebuh raya,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik ambulans Kementerian Kesihatan.
“Kerja-kerja mengangkat mangsa dilakukan dan mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau juga berkata, dalam masa sama berlaku kecelakaan membabitkan kren yang melakukan kerja di tapak pembinaan berhampiran.
“Terdapat seorang mangsa lelaki warga Pakistan cedera di kaki dan telah diberikan rawatan awal oleh anggota paramedik sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sumber: BERITAHARIAN





