
Kuala Terengganu: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berputih mata apabila wang simpanan hampir RM60,000 lesap ditipu sindiket panggilan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 24 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu, pada 10.08 malam tadi.
Menurutnya, pada 27 November lalu dan ketika berada di daerah Kuala Nerus, mangsa dihubungi oleh pihak yang mengaku kononnya dari pihak Cybersecurity.
Menurutnya, sindiket memaklumkan kononnya mangsa terbabit dalam penyebaran pautan palsu dan meminta mangsa membuat laporan polis sebagai penafian perbuatan berkenaan.
Katanya, sindiket yang menyamar sebagai polis juga maklumkan kononnya mangsa terbabit dengan jenayah pengubahan wang haram dan meminta mangsa untuk memberi kerjasama dalam siasatan.
“Bagi tujuan siasatan mangsa diminta untuk mengosongkan akaun bank miliknya dan memasukkan wang ke akaun sementara yang di beri oleh pihak sindiket.
“Mangsa kemudian memindahkan wangnya ke dua akaun berbeza berjumlah RM59,400 antara 2 hingga 9 Disember lalu,” katanya.
Beliau berkata, mangsa juga diminta untuk untuk melaporkan diri kepada pihak berkenaan setiap hari.
Menurutnya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas tidak dapat berhubung dengan sindiket berkenaan di samping wangnya juga lesap akibat kejadian itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala sumber kewangan adalah wang simpanan hasil tabungan daripada ibu bapa mangsa.
Sumber: HARIANMETRO





