Isteri Teraniaya Tak Wajar Berdiam Diri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
PEGUAM SYARIE FAIZNUR AHMAD TARMIZI

Kuala Lumpur: Isteri digantung tidak bertali perlu berani mengambil tindakan untuk membela diri mereka.

Peguam Syarie Faiznur Ahmad Tarmizi berkata, mereka mempunyai hak untuk memfailkan permohonan cerai secara fasakh di mahkamah syariah.

Menurutnya, fasakh ialah pembubaran nikah disebabkan sesuatu perkara yang diharuskan oleh hukum syarak berdasarkan peruntukan di bawah Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri.

“Langkah pertama bagi permohonan secara fasakh ialah mendapatkan nasihat dan panduan daripada pihak yang bertauliah seperti pegawai di Pejabat Agama Islam Daerah, mahkamah syariah dan peguam syarie bertauliah.

“Langkah kedua adalah mendaftarkan permohonan kes ini di mahkamah syariah yang berbidang kuasa. Sebaiknya prosiding kes permohonan cerai secara fasakh ini diwakili peguam syarie daripada peringkat awal sehingga peringkat keputusan diputuskan.

“Langkah seterusnya jika isteri sudah mendaftarkan kes permohonan cerai secara fasakh ini secara sendirian tanpa peguam syarie, dinasihatkan melantik peguam syarie untuk kelancaran kes hingga perceraian secara fasakh disabitkan,” katanya.

Katanya, perceraian secara fasakh itu paling banyak digunakan bagi kes isteri digantung tidak bertali.

“Tetapi permohonan cerai secara fasakh adalah satu proses yang rumit kerana memerlukan bukti kukuh sebelum mahkamah memutuskan pembubaran perkahwinan.

“Isteri boleh menggunakan alasan antaranya ditinggalkan dan tidak diketahui keberadaan suami lebih setahun atau tidak diberi nafkah selama tempoh tiga bulan,”katanya.

Faiznur berkata, satu lagi kaedah perceraian bagi kes isteri digantung tidak bertali ialah menerusi perceraian secara proses hakam.

“Kaedah ini digunakan apabila suami enggan menceraikan isterinya. Namun suami masih diketahui keberadaannya.

“Hakam diberi kuasa oleh mahkamah untuk melafazkan cerai bagi pihak suami,” katanya.

Jelasnya, bukti sangat kukuh diperlukan membuktikan kebenaran isteri digantung tidak bertali terutamanya dalam kes permohonan cerai secara fasakh.

“Antara bukti utama ialah dokumentar, khususnya penyata bank yang menunjukkan tiada transaksi nafkah diterima isteri dalam tempoh selama tiga bulan dan lebih.

“Selain itu, saksi daripada kalangan ahli keluarga juga diperlukan bagi menguatkan tuntutan. Mahkamah tidak menerima bukti berbentuk khabar angin tanpa sandaran kukuh,”katanya.

Katanya lagi, daripada sudut undang-undang, tiada peruntukan khusus untuk menghukum suami yang membiarkan isteri digantung tidak bertali.

“Namun daripada hukum syarak, perbuatan si suami jelas culas tanggungjawab dan menzalimi isteri daripada segi emosi serta batin,” katanya.

Sumber : HARIAN METRO