Passport merupakan perkara wajib yang perlu dibawa ketika melancong atau melawat negara asing. Di Malaysia, passport negara adalah berwarna merah dan passport Malaysia amatlah dikenali di serata dunia. Pemegang passport Malaysia menikmati perlancongan tanpa menggunakan visa dan mengikut “Visa Restrictions Index” tahun 2016, Malaysia berada di tangga ke-12 di dunia, menikmati pelancongan ke 164 negara tanpa menggunakan visa.
Namun, adakah anda tahu ada berapakah warna passport di dunia? Ada 4 sahaja iaitu merah, biru, hijau dan hitam.
Merah
Merah adalah warna passport paling dikenali. Passport yang berwarna merah adalah selalunya dari negara yang mempunyai sejarah ataupun masih di dalam sistem komunis. Ada sesetengah negara yang menggunakan warna merah gelap, ataupun dari kelompok warna merah juga turut digunakan. Negara seperti Slovenia, China, Serbia, Russia, Romania, Poland, Malaysia menggunakan passport berwarna merah.
Biru
Biru adalah warna seterusnya paling dikenali selepas merah. Warna biru menunjukkan “New World”. 15 negara Carribean menggunakan passport berwarna biru. Negara di Amerika Selatan turut menggunakan passport berwarna biru bagi memberi simbol perdagangan Mercosur. Mercosur adalah blok negara perdagangan yang dianggotai Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay. Passport untuk warganegara Amerika Syarikat ditukar kepada warna biru pada tahun 1976.
Fakta passport biru: Rakyat Syria adalah pemegang passport biru namun passport ini adalah terhad kerana pada masa sekarang passport ini hanya ada akses kepada 32 negara di dunia tanpa visa disebabkan hubungan diplomatik negara.
Hijau
Kebanyakan negara Islam menggunakan warna hijau. Contohnya, Maghribi, Arab Saudi dan Pakistan. Warna hijau adalah bersempena dengan warna kegemaran baginda Rasulullah SAW dan menunjukkan simbol alam semulajadi dan kehidupan. Warganegara dari negara di Afrika Barat juga menggunakan passport dari kelompok warna hijau seperti Burkina Faso, Nigeria, Ivory Coast dan juga Senegal. Namun, untuk negara dari Afrika Barat ini, simbol warna hijau itu melambangkan negara mereka adalah daripada ECOWAS iaitu Komunity Ekonomi Negara-negara Afrika Barat.
Hitam
Passport berwarna hitam adalah passport yang paling unik. Passport ini boleh didapati daripada warganegara Afrika seperti Botswana, Zambia, Burundi, Gabon, Angola, Chad, Congo, Malawi dan sebagainya. Warganegara New Zealand juga mempunyai passport berwarna hitam.
Sumber : Iluminasi