Adakah Korek Hidung Batal Puasa?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Setiap ibadah dalam Islam mempunyai syarat-syarat yang perlu dipatuhi agar ibadah itu menjadi sah. Solat contohnya – setiap individu perlu mengambil wuduk dengan betul, memastikan waktu solat telah masuk dan menutup aurat ketika solat.

Bagi puasa di bulan Ramadan pula, seseorang itu perlu berniat untuk puasa serta berhenti makan sebelum masuk waktu Subuh.

Ketika ibadah ini dilakukan, terdapat perkara-perkara yang perlu diperhatikan dan dijaga bagi mengelakkan ia terbatal dan menjadi sia-sia. Dalam solat, seseorang itu tidak dibenarkan bercakap selain bacaan dalam solat atau ayat-ayat Al-Quran serta tidak boleh melakukan pergerakan yang banyak.

Dalam hal puasa, kita kerap mendengar percakapan orang bahawa tindakan mengorek hidung boleh membatalkan puasa. Hal ini dikaitkan dengan larangan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan ketika berpuasa. Adakah hal ini benar?

Mari kita teliti penjelasan daripada pihak Mufti Wilayah Persekutuan bagi memahami isu ini dengan lebih jelas.

Dalam Mazhab Syafie, sengaja memasukkan suatu ain (benda yang boleh dilihat dengan mata kasar), atau benda fizikal jauh ke dalam saluran terbuka, tanpa keuzuran dapat membatalkan puasa. Saluran terbuka di sini ialah mulut, telinga, lubang hidung serta alat sulit.

Lubang hidung dianggap sebagai saluran terbuka kerana ia bersambung dengan jauf (bahagian berdekatan otak) serta rongga tengah badan.

Bagi perbuatan mengorek hidung, ia dibandingkan dengan amalan berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk (istinsyaq). Kedua-dua amalan sunat ketika berwuduk ini masih dibenarkan walaupun semasa berpuasa dengan syarat ia tidak dilakukan secara berlebih-lebihan.

Berlebihan di sini bermakna menyampaikan air ke pangkal tekak serta bahagian pangkal hidung (khayshum). Jika sampai ke bahagian jauf (bahagian berdekatan dengan otak) dan juga tekak, maka batal.

Kesimpulannya, bagi perbuatan memasukkan jari ke dalam hidung bagi mengeluarkan kekotoran, ianya tidak membatalkan puasa selagi masih belum sampai ke had rongga yang tidak dibenarkan.

Sumber: TZKRH.COM