
KUALA LUMPUR: Penganugerahan Anugerah Nadi Cipta pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2025 disifatkan komposer dan penyanyi, Eddie Hamid sebagai pengiktirafan bermakna yang sekali gus menepis persepsi negatif terhadap hasil karyanya selama ini.
Eddie atau nama sebenarnya Abdul Hamid Adenan, 63, berkata pengiktirafan daripada badan profesional itu merupakan detik paling manis dalam perjalanan seninya tahun ini.
“Akhirnya, MACP membuktikan hasil kerja saya diiktiraf sebagai pencipta lagu, bukan sekadar komposer yang sering dilabel dengan karya ‘meleleh’ atau lagu kampung.
“Saya sangat bersyukur dan berpuas hati kerana segala tohmahan sebelum ini kini terjawab,” katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah MACP, baru-baru ini.
Menurut komposer lagu Setandan Pisang itu, segala kritikan terhadap karyanya tidak sedikit pun mematahkan semangat untuk terus berkarya, khususnya dalam penghasilan lagu-lagu berdialek Kelantan.
“Jika dahulu saya banyak menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu standard, kini permintaan terhadap lagu dialek Kelantan semakin meningkat.
“Ini membuktikan karya sebegini memiliki pendengar setia malah turut mendapat perhatian daripada pendengar di luar negeri tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, maestro muzik negara, Datuk M. Nasir menyifatkan pengiktirafan diberikan kepada Eddie sebagai tepat pada masanya memandangkan rakan seperjuangannya itu memiliki keunikan tersendiri yang sukar dicari pengganti.
“Sejujurnya saya juga peminat Eddie. Tiada sesiapa yang boleh menghasilkan karya seperti Eddie Hamid. Dalam dunia ini, dia sahaja yang mampu menghasilkan lagu sebegitu.
“Jika dia mengatakan sesuatu lagu itu tidak sedap, kebiasaannya memang lagu itu sukar untuk menjadi popular. Itu kelebihan Eddie,” katanya.
Antara karya popular sentuhan Eddie Hamid yang masih menjadi siulan sehingga kini termasuk Rindu Serindu Rindunya, Dirantai Digelangi Rindu, Perpisahan Terakhir dan Jangan Menangis Sayang.
Sumber: Utusan





