AS Sumbang RM200,000 Bagi Memulihara Warisan Rebana Kercing

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) memberi tajaan dana lebih RM200,000 di bawah dana penyelidikan US Ambassador’s Fund for Cultural Preservation (AFCP) bagi memulihara warisan Rebana Kercing.

Usaha pemuliharaan seni budaya Rebana Kercing itu dibuat dengan kerjasama pihak Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan penyelidikannya bermula November tahun lalu di Kampung Laut, di sini.

Naib Canselor UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, penyelidikan selama satu tahun itu dibuat 27 penyelidik UMK yang dijangka dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini.

“Selain daripada untuk memelihara dan memulihara seni Rebana Kercing Kampung Laut daripada pupus, projek ini turut dirangka bagi mengkaji faktor membawa kepada keadaan kritikal semasa persembahan Rebana Kercing dengan mengkaji perspektif sosiobudaya dan sejarah persembahan rakyat ini.

“Di samping itu, penyelidikannya bertujuan mengekalkan seni semakin pupus ini dengan menjaga warisan budaya tidak ketara (ICH) melalui pendokumentasian penyelidikan yang merangkumi temu bual mendalam, kerja lapangan dan digitalisasi proses latihan tradisional serta persembahan kebudayaan,” katanya ketika sidang media, hari ini.

McFeeters (kanan) mendengar penerangan daripada ahli kluster dokumentasi projek pemuliharaan Rebana Kercing (AFCP) di Kampung Laut, Mohammad Affiq Kamarul Azlan selepas majlis pelancaran di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
McFeeters (kanan) mendengar penerangan daripada ahli kluster dokumentasi projek pemuliharaan Rebana Kercing (AFCP) di Kampung Laut, Mohammad Affiq Kamarul Azlan selepas majlis pelancaran di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Majlis pelancaran pemuliharaan Rebana Kercing di Kampung Laut itu disempurnakan Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D McFeeters.

Hadir sama, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan generasi kelima pewaris seni Rebana Kercing, Harun Hasan, 76.

Nik Maheran berkata, sebaik selesai penyelidikan mengenai tarian tradisional yang sudah bertapak sejak 150 tahun lalu di negara ini selesai, pihaknya berhasrat menawarkan kursus mengenai seni budaya itu kepada penuntut berminat.

Beliau berkata, UMK bercadang mengadakan kerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri dengan menawarkan kelab Rebana Kercing di sekolah.

Sumber: My Metro