Azeem Makin Hampir Lebur Rekod 10.09s

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Pelari pecut berpangkalan di Amerika Syarikat, Muhammad Azeem Fahmi semakin hampir untuk memecahkan rekod 100 meter (m) kebangsaan miliknya.

Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan menerusi catatan 10.09 saat (s) melakar catatan terbaik musim ini dengan 10.11s pada saringan Kejuaraan Trek dan Padang SEC di Lousiana, pagi tadi.

Dia menamatkan saringan sebagai pelari kedua terpantas dan penuntut Auburn State University di Alabama itu akan berentap di final, esok.

Seorang lagi penuntut Auburn, Favour Ash melakar catatan terpantas 10.06s pada saringan sementara Javonte Harding (Tennessee) menjadi pelari ketiga terpantas dengan catatan 10.13s.

Sebelum ini, Azeem melakar 10.14s untuk menamatkan saingan di tempat ketiga pada Perlumbaan East Coast di Florida, bulan lalu.

Pada Mac, Azeem mencatat 10.32s pada Kejuaraan Perlumbaan Florida State University (FSU).

Bekas jurulatihnya, Amir Izwan mengakui pelari pecut itu kian bertambah baik.

“Saya gembira dengan kemajuannya dan 10.11s adalah catatan yang baik.

“Saya harap dia akan melakukan satu lagi catatan yang baik pada final nanti,” kata guru SMK Gunung Rapat itu.

Sasaran utama Azeem pada tahun ini adalah untuk melakukan catatan 10.00s untuk melayakkan diri ke Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary, Ogos nanti.

Sumber: BERITA HARIAN