Banjir: 2 Sekolah Di Pekan Masih Teruskan Pdpr

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Temai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, di sini terpaksa meneruskan lagi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ekoran gelombang kedua banjir yang melanda daerah ini.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar, berkata sejak sesi persekolahan dibuka pada 2 Januari lalu, seramai 128 murid SK Temai masih lagi belum berpeluang untuk ke sekolah.

Katanya, sebelum ini air termenung dalam kawasan sekolah, kini berlaku banjir gelombang kedua selepas berlaku limpahan paras air Sungai Pahang yang terletak beberapa meter dari sekolah berkenaan.

Menurutnya, paras air pada banjir gelombang kedua ini lebih satu meter yang turut memaksa guru SK Temai menumpang di pusat pemindahan sementara (PPS) Temai Hulu untuk menjalankan tugas harian.

“Sebelum ini murid Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam yang menduduki Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) turut terpaksa menumpang PPS Temai Hulu selama tiga hari minggu lalu.

“Ekoran banjir gelombang kedua ini, beberapa murid Orang Asli yang menetap di Kampung Permatang Siput terpaksa menaiki pacuan empat untuk ke PPS Temai Hulu selepas jalan di kampung mereka ditenggelami banjir,” katanya, dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, turut mengikuti PdPR pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga SMK Paloh Hinai ekoran ditenggelami banjir. Hanya pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja berada di sekolah.

Mohd Razali berkata, ibu bapa dinasihatkan supaya memastikan anak mereka mengikuti PdPR yang disediakan pihak sekolah, latihan yang disediakan guru perlu diselesaikan.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada ibu bapa supaya dapat memantau aktiviti anak mereka, pastikan anak mereka tidak mandi air banjir tanpa pengawasan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Sekolah yang ditenggelami hanya akan dibuka apabila air sepenuhnya dan selesai kerja pembersihan kotoran dilakukan,” katanya yang sentiasa memantau perkembangan banjir di daerah ini.

– BERITA HARIAN