Barcelona Berpeluh Atasi Barbastro

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BARCELONA: Barcelona mara ke pusingan 16 terakhir Copa del Rey (Piala Raja Sepanyol) namun menerima tentangan sengit kelab divisyen empat Barbastro dalam perlawanan menarik yang dimenangi mereka 3-2 awal pagi tadi.

Juara dengan rekod 31 kali itu mendahului dua gol menerusi Fermin Lopez dan Raphinha sebelum Adria de Mesa membalas satu gol buat tuan rumah yang bekerja keras sepanjang masa.

Pemain gantian Robert Lewandowski meledak menerusi sepakan penalti buat juara Sepanyol itu tetapi Marc Prat menyempurnakan satu penalti lewat perlawanan buat tuan rumah, yang enggan berputus asa.

“Ia kelihatan perlawanan ini berakhir, (tetapi) perlawanan sebegini sering kali menyulitkan,” kata jurulatih Barca, Xavi kepada Movistar.

“Ia satu keputusan positif, permainan kami juga positif dalam banyak ketika dan kami berada di pusingan 16 terakhir.”

Barcelona mendahului apabila Frenkie de Jong melambungkan bola ke arah Raphinha dan Lopez yang tiba tepat pada masanya di kawasan penalti sebelum menyudahkan hantaran leret pemain Brazil itu.

Joao Felix menanduk masuk gol kedua susulan hantaran silang Lopez namun kecewa apabila ia tidak disahkan kerana ofsaid.

Ulang tayang menunjukkan penyerang itu berada dalam posisi yang baik tetapi reviu video tidak digunakan dalam Copa del Rey hinggalah pusingan 16 terakhir.

“Saya tidak faham kenapa tiada VAR dalam pertandingan ini, sekalipun gelanggang ini mungkin bagi kelab liga bawahan,” kata Xavi. – AFP