Bekas Penyampai Radio Ismahalil Bebas Tuduhan Edar Dadah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Bekas penyampai radio Ismahalil Hamzah menangis dan melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Ismahalil, 50, di akhir kes pembelaan.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh (Ismahalil) mempunyai kawalan dan milikan terhadap dadah dalam sebuah beg yang berada dalam sebuah bilik di rumah sewanya.

“Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah bahawa tertuduh mengedar dadah tersebut. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut,” kata hakim itu.

Ismahalil didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata saksi pendakwaan keempat (pegawai penyiasat) tidak menyiasat siapa yang mempunyai akses kepada sebuah bilik dalam rumah sewa tersebut selain tidak mengetahui bilik berkenaan adalah bilik penyampai radio yang bertugas di konti.

“Saya menerima keterangan tertuduh bahawa bilik tersebut boleh diakses oleh penyampai radio lain, kru, pengurusan kedai dan para tetamu Bapakku FM (yang beroperasi dalam rumah berkenaan). Keterangan tertuduh itu disokong oleh keterangan empat saksi pembelaan.

“Bukan tertuduh sahaja yang mempunyai akses ke atas bilik tersebut sebaliknya individu lain juga mempunyai akses ke atas bilik itu. Sehubungan itu, bukan tertuduh sahaja yang mempunyai jagaan dan kawalan ke atas dadah yang dijumpai dalam bilik itu, individu lain juga mempunyai jagaan dan kawalan ke atas dadah di dalam bilik tersebut,” katanya.

Menurut Muhammad Jamil, saksi pendakwaan kelima (pegawai polis) turut mengesahkan tiada apa-apa barang peribadi tertuduh dalam beg berisi dadah itu dan tiada keterangan menunjukkan beg tersebut mempunyai kaitan dengan tertuduh.

“Pembelaan tertuduh dan keterangan empat saksi pembelaan telah menimbulkan keraguan munasabah berhubung jagaan dan kawalan tertuduh ke atas dadah tersebut,” katanya.

Ismahalil turut melaungkan ‘Allahuakbar’ manakala ahli keluarganya yang berada di galeri awam dilihat menangis selepas mahkamah memberikan keputusan.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala Ismahalil diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zulkafli.

Sementara itu, Ismahalil ketika ditemui pemberita berkata pembebasannya adalah kerana kebenaran, kasih sayang Allah dan doa keluarga serta sahabat-sahabatnya.

“Hampir dua tahun saya di penjara, hari ini saya dapat rasa kebebasan dan mahu jumpa mak, isteri serta anak saya. Banyak sangat saya belajar sepanjang tempoh tersebut.

“Saya akan kembali dengan nafas baharu sebagai penyampai radio di Bapakku FM dan Alhamdulillah saya boleh jadi wali kepada anak saya yang akan berkahwin pada Oktober ini,” katanya.

— BERNAMA