Benzema Teruja Sertai Al Ittihad

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RIYADH – Pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema menjadi pemain terbaharu ke Arab Saudi dengan menyertai Al Ittihad selepas penyerang Perancis itu meninggalkan Real Madrid.

Benzema yang mengakhiri kegemilangan 14 tahun di Real minggu ini, menyertai kelab juara Arab Saudi itu dengan kontrak tiga tahun dan akan menggunakan jersi bernombor sembilan.

“Saya teruja untuk menimba pengalaman dalam liga bola sepak baharu di negara berbeza. Saya bertuah kerana meraih perkara menakjubkan dalam karier saya dan mencapai segala-galanya yang saya inginkan di Sepanyol dan Eropah,” kata Benzema.

“Ia seperti masa yang sesuai untuk satu cabaran baharu dan projek… saya amat menantikan untuk menyertai rakan sepasukan baharu dan bersama mereka, membantu kelab ini dan perlawanan di Arab Saudi ke tahap baharu.”

Benzema menyertai bekas rakan sepasukannya di Real, Cristiano Ronaldo di negara Teluk berkenaan selepas penyerang Portugal itu mengikat kontrak dua tahun setengah yang dianggarkan media bernilai lebih 200 juta euro (RM985.54 juta) untuk menyertai Al Nassr pada Disember lalu.

Selepas menyertai Real pada 2009 daripada kelab Olympique Lyonnais, Benzema muncul sebagai tonggak serangan utama apabila Ronaldo meninggalkan kelab untuk ke Juventus pada 2018 dan pernah menjuarai Liga Juara-Juara sebanyak lima kali dan La Liga empat kali.

Musim terbaiknya bersama Real adalah pada kempen 2021-22 apabila meledak 44 gol dalam kesemua kejohanan untuk membantu kelab menambahkan rekod gelaran ke-14 di Eropah termasuk menjuarai La Liga.

Pemain berusia 35 tahun itu memenangi Ballon d’Or untuk pemain lelaki terbaik di dunia tahun lalu dan kelihatan bersedia untuk kekal bersama kelab Sepanyol berkenaan setahun lagi selepas musim 2022-23 dihimpit kecederaan dan terlepas menyertai skuad Perancis di Piala Dunia Qatar.

Namun, tawaran yang dikatakan bernilai lebih 100 juta euro (RM492.77) daripada Arab Saudi membuatkan dia memikirkan semula keputusannya untuk kekal di Sepanyol.

Bulan lalu, Al Ittihad muncul juara Liga Profesional Saudi buat kali pertamanya sejak 2009.

– BERITA HARIAN