Berkat Kesepakatan Komuniti, Dataran Batu Putih Kini Destinasi Tumpuan Ramai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Dataran Batu Putih (DBP) telah menjadi lokasi pelancongan tumpuan ramai dari seluruh pelusuk negeri Terengganu apabila ia dibangunkan dengan kesepakatan komuniti setempat sejak pertengahan tahun 2019. Ia menggunakan konsep ‘Community Based Tourism’ seperti yang dilakarkan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030).

Pengerusi Dataran Batu Putih, Noor Azman Hasan, DBP ini dibangunkan di atas tanah seluas lebih 100 ekar yang dimiliki oleh 100 orang peserta yang bersetuju untuk membangunkan agrotourism ekoran perlu menunggu lama bagi memperoleh hasil daripada tanaman pokok kelapa.

“Jadi kami menubuhkan jawatankuasa Dataran Batu Putih sempena nama kampung ini Kampung Batu Putih, bagi tujuan untuk buat konsep gotong royong dengan cari sendiri kayu kayan dalam hutan, atap nipah daripada pokok nipah dan kita cuma beli paku sahaja”.

Menurutnya, projek DBP ini mendapat sokongan daripada jabatan-jabatan negeri dan kerajaan negeri Terengganu terutamanya Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang telah memperuntukkan RM 100 ribu bagi membina kemudahan asas seperti air dan elektrik selain membina sebuah pentas.

“Alhamdulillah, kini pengunjung pada hari minggu sangat penuh sehingga mampu memuatkan lebih100 kenderaan di parkir yang kami sediakan sehinggakan ada pengunjung yang teragak agak untuk masuk ke sini terutamanya pada waktu cuti am”, beliau berkata demikian kepada wartawan manis FM pada Khamis.

– UNIT BERITA MANIS FM