
LONDON – Chelsea kembali berada dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Wolverhampton Wanderers pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Satu gol masing-masing menerusi Malo Gusto, Joao Pedro dan Pedro Neto sudah cukup bagi membolehkan Chelsea mengurangkan jurang mata dengan The Gunners yang sekadar seri 2-2 menentang Sunderland.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca menyifatkan kemenangan itu sesuatu yang sangat penting buat mereka kerana kembali meletakkan The Blues dalam landasan tepat bagi mencabar takhta kejuaraan musim ini.
“Kami bermain sangat baik hari ini (semalam). Apa yang membezakan separuh masa pertama dan kedua adalah jaringan tetapi secara keseluruhan, semua pemain mempamerkan aksi cukup baik sepanjang 90 minit permainan.
“Saya juga gembira dengan sumbangan Alejandro Garnacho kerana dia melakukan dua umpanan hari ini (semalam). Selain itu, dia juga membantu pasukan melakukan tekanan ke atas pemain lawan,” katanya.
Meskipun perlu berdepan saingan beberapa pasukan lain bagi mencabar Arsenal merebut gelaran liga musim ini, namun beliau tetap menaruh sepenuh kepercayaan kepada anak-anak buahnya.
“Semua orang di kelab ini percaya kami mampu melakukan sesuatu dan bergerak ke arah yang tepat. Selain itu, saya juga yakin kami boleh menjadi lebih baik sebagai satu pasukan,” ujar Maresca. – AGENSI
Sumber: Kosmo





