Cheng Hoe Dedah Rahsia Tumbangkan TFC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Meledak gol awal dan disiplin bertahan menjadi kunci utama kemenangan besar 4-0 Selangor FC menumbangkan Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Pengendali skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe berkata karakter diperagakan anak buahnya serta kerja keras sepanjang permainan bagi menebus kehampaan gagal ke separuh akhir Piala Malaysia juga menjadi tonik kemenangan besar pasukannya.

Jelas Cheng Hoe, beliau bagaikan tergamam melihat persembahan bertenaga yang diperagakan pemainnya walaupun beraksi di depan ‘lautan’ penyokong setia pasukan lawan.

Pada perlawanan itu, pelawat memperoleh dua gol pada babak pertama menerusi pemain importnya, Yohandry Orozco sebelum bekas pemain TFC musim lalu, Faisal Halim dan pemain gantian, Muhammad Aliff Izwan Yuslan masing-masing mencetak satu gol pada babak kedua.

“Jaringan awal yang kita peroleh memberikan keyakinan dan motivasi yang tinggi kepada pemain untuk kekal melakar kemenangan berharga pada malam ini (malam tadi) dengan jaringan yang begitu besar.

“Bagaimanapun kemenangan itu tidak mudah dicapai lebih-lebih lagi dalam masa dua minggu pasukan kita perlu berdepan dengan TFC termasuk dua aksi dalam saingan Piala Malaysia, lagipun kita tahu TFC berada pada landasan yang baik dengan momentum tanpa tewas sejak tiga bulan lalu berbanding pasukan kami.

“Namun kita nampak pada hari ini corak permainan pemain agak berbeza dan yakin di tambah karakter yang ditunjukkan setiap pemain serta kerja keras bagi memastikan tidak dibolosi selepas kita berjaya mendapat gol awal walaupun pada mulanya nampak tertekan.

“Namun ada nada kerisauan mengenai momentum pasukan kerana selepas ini kita perlu berehat panjang selama sebulan, namun itu bukan alasan untuk pemain tidak kekal cergas, saya akan melakukan perancangan terbaik pasukan dalam tempoh itu,” katanya.

Skuad The Red Giants itu kini kekal menghuni di tangga kedua liga dengan mengumpul 52 mata hasil 23 perlawanan.

– BERITA HARIAN