Dua ‘Hero’ Curi Tumpuan Di Puncak Tertinggi KL

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Menjelang malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37, dua ‘hero’ perfileman tanah air, Qi Razali dan Nazrief Nazri melahirkan rasa syukur dan teruja apabila tercalon dalam kelompok Top 10 kategori masing-masing.

Pencapaian itu membuktikan kehadiran Qi dan Nazrief masih mendapat tempat dan menjadi pilihan jutaan peminat.

Menurut Qi, sokongan peminat, khususnya dari negara jiran seperti Brunei menjadi antara sumber kekuatan dan semangat buat dirinya.

“Mungkin strategi terakhir kami adalah menghasilkan satu video khas untuk peminat di Brunei. Tidak sangka sambutan di sana sangat luar biasa.

“Ketika kami ke Brunei, dari lapangan terbang sampai ke lokasi acara, mereka memang menjerit ‘Babah, Babah’. Tidak semestinya mereka kenal saya sebagai Qi Razali, tapi mereka kenal watak Babah. Memang mengejutkan dan sangat menyentuh hati,” katanya kepada BH Online.

Qi turut menzahirkan harapan agar ABPBH 37 berlangsung penuh meriah dan kekal sebagai platform penghargaan buat warga industri seni tanah air.

“Alhamdulillah, saya hanya berharap ABPBH 37 lancar dan berjaya. Semua calon, baik lelaki, perempuan, penyanyi dan pelakon, hebat-hebat belaka.

“Saya sangat menantikan malam kemuncak nanti. Semoga berjaya buat semua,” katanya.

Mengulas suasana majlis pengumuman prakemuncak ABPBH 37 yang berlangsung meriah di Hemisfera Luxury Sky Hall, Kuala Lumpur Tower di sini. baru-baru ini, Qi kagum dengan pengendalian acara dan aura glamor yang dipersembahkan.

“ABPBH memang ‘next level’. Kalau kita lihat, ABPBH selalu pilih lokasi yang menarik dan eksklusif. Ini baru majlis prakemuncak, belum lagi acara sebenar.

“Biasanya dibuat di Arena of Stars, Genting Highlands dan tempat-tempat yang berprestij. Jadi, suasana kali ini di Menara Kuala Lumpur sangat cantik, glamor dan tersusun.

“Saya lihat barisan tetamu, selebriti yang hadir dan keseluruhan suasana memang sangat glamor untuk tahun ini,” katanya.

Pada ABPBH 37, Qi tersenarai dalam dua kategori iaitu Aktor Filem Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular bersama Sweet Qismina.

Sementara itu, Nazrief yang tercalon dalam kategori Aktor Pembantu TV Popular pula menyifatkan pencalonan itu sebagai rezeki selepas lebih sedekad tidak tersenarai dalam ABPBH.

“Alhamdulillah, selepas lebih 10 tahun tidak tercalon dalam ABPBH, tahun ini saya kembali tersenarai. Ini dicapai selepas saya membuat kemunculan semula.

“Saya sebenarnya tidak menjangka akan berada dalam Top 10. Namun, disebabkan karya Seribu Tahun yang tular baru-baru ini, saya berharap ada rezeki untuk saya pada kali ini,” katanya.

Nazrief berkata, dia turut aktif menjalankan kempen undian melalui platform digital, seiring perkembangan era baharu ABPBH.

“Daripada pihak saya, memang saya usahakan promosi bagi meraih undian, sebab kita tahu kemenangan dalam ABPBH 37 bergantung sepenuhnya kepada undian peminat.

“Kalau dulu undi melalui pembelian akhbar, sekarang semuanya secara dalam talian. Jadi, saya gunakan platform media sosial untuk menggalakkan orang ramai mengundi saya.

“ABPBH ini boleh dianggap sebagai anugerah paling lama bertapak. Walaupun cara pengundian berubah, ia tetap ABPBH dan tetap menjadi anugerah yang dinanti-nantikan setiap tahun,” katanya.

Tidak ketinggalan, Nazrief turut memuji penganjuran majlis prakemuncak ABPBH 37 yang dianggap penuh gaya dan bertenaga.

“Disebabkan saya sudah lama tidak hadir, saya tidak pasti bagaimana suasana sebelum ini. Tetapi, bagi saya, tahun ini memang nampak hebat dan gempak.

“Untuk majlis pengumuman malam kemuncak pun sudah nampak sangat teratur, meriah dan ‘havoc’. Jadi, saya memang teruja menantikan malam kemuncak nanti,” katanya.

Sumber: Berita Harian