Dua Lelaki Ugut Bapa Mentua Guna Pedang Samurai Dan Parang Dicekup

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TAWAU – Hanya kerana tidak membenarkan isteri bermalam di rumah keluarga, dua lelaki bertindak mengugut bapa mentua menggunakan senjata tajam dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Pengkalan Asli Merotai di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku apabila kedua-dua suspek datang ke rumah mangsa yang juga warga emas berusia 63 tahun sebelum bertindak mengamuk dan mengeluarkan ugutan.

“Siasatan awal mendapati suspek utama yang juga menantu mangsa dilihat memegang pedang samurai, manakala adik lelakinya membawa parang dengan mengugut mangsa sehingga menimbulkan ketakutan.

“Kejadian berpunca apabila isteri suspek utama yang juga anak perempuan mangsa ingin bermalam di rumah bapanya, namun tindakan itu tidak dipersetujui oleh suspek sebelum berlaku pertengkaran,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Jasmin lagi, susulan kejadian itu mangsa bertindak membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan dan tindakan lanjut.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 12.10 tengah malam di hadapan sebuah rumah di Kampung Merotai Besar,” katanya.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan lanjut, suspek utama berusia 39 tahun, yang bekerja sebagai pemandu lori itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan ugutan dan kes pecah masuk manakala suspek kedua berusia 27 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan, keganasan atau tindakan menggunakan senjata yang boleh mengancam keselamatan orang awam.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menyelesaikan sebarang perselisihan melalui saluran undang-undang dan segera membuat laporan polis sekiranya berdepan situasi berbahaya,” katanya.

Sumber: SINARHARIAN