Dua Maut Akibat Cuai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Akibat mengubah haluan secara mengejut, dua lelaki maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh kereta di Jalan Pintasan Kuantan–Pelabuhan hala Kuantan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.52 pagi itu, Yusof Ibrahim, 58, dan Ismail Jaafar, 61, yang menaiki motosikal Yamaha Y15ZR disahkan meninggalkan dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan mereka bertembung dengan kereta Nissan Almera.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan mendapati, kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan dari Gebeng ke Kuantan mengubah haluan berhampiran Depoh Alam Flora secara mengejut.

“Kereta Nissan Almera yang dipandu wanita berusia 32 tahun dari arah sama tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mereka.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan motosikal terbabit juga sudah tamat tempoh kira-kira tiga tahun lalu.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: METRO