Dua Syarat Guna Spektrum Frekuensi Secara Sah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Cyberjaya: Minat sertai dunia radio amatur atau radio ham dalam kalangan masyarakat tempatan dilihat semakin meningkat, selari dengan fungsi hobi itu sebagai saluran komunikasi alternatif ketika kecemasan serta ruang menimba kemahiran teknikal.

Ini terbukti apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan dianggarkan seramai 10,558 pengendali radio amatur aktif di seluruh negara sehingga akhir September 2025.

MCMC menjelaskan individu yang mahu mengendalikan stesen radio amatur perlu mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) terlebih dahulu.

Menurutnya, dua syarat utama diperlukan iaitu Perakuan Pengendali Radio Amatur (AROC) dan Penguntukan Radas (AA) bagi membolehkan seseorang menggunakan spektrum frekuensi secara sah.

“AROC mengesahkan bahawa pengendali mempunyai tahap pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi. Sementara AA memberi hak kepada seseorang menggunakan frekuensi ditetapkan,” katanya.

Terdapat tiga kategori AROC yang boleh dimohon individu bermula seawal usia 12 tahun, bermula Kelas C, diikuti Kelas B (minimum 14 tahun) sebelum layak menduduki peperiksaan Kelas A (minimum 15 tahun). Setiap kelas ditetapkan syarat lulus peperiksaan Radio Amateur Examination (RAE) mengikut peringkat masing-masing.

“Pemegang AROC layak memohon AA yang kemudian akan diperuntukkan isyarat panggilan unik sebagai identiti rasmi ketika berkomunikasi melalui udara,” menurut kenyataan itu.

Sumber: Harian Metro