Empat Pemain Man United Bertegang Leher

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MANCHESTER – Empat pemain Manchester United bertegang leher di dalam bilik persalinan selepas kekalahan kepada Brighton di laman sendiri Sabtu lalu.

Kapten Bruno Fernandes bersemuka dengan gandingannya di bahagian tengah, Scott McTominay selepas kekalahan ketiga dalam empat perlawanan musim ini.

Gandingan bek tengah pula, Lisandro Martinez dan Victor Lindelof turut menyalahkan satu sama lain selepas dibolosi tiga kali oleh Brighton di Old Trafford.

Pengendali United, Erik ten Hag yang sudah kehilangan Mason Greenwood dan Antony akibat masalah di luar padang, turut menggugurkan Jadon Sancho daripada latihan skuad utama dan melepaskan Harry Maguire daripada jawatan kapten.

Pengulas bola sepak yang juga bekas pemain United, Gary Neville berkata: “Sejauh mana populariti Sancho di bilik persalinan? Bagaimana pula dengan populariti Maguire?

“Ten Hag ada masalah di sana yang kita di luar tidak tahu. Rasa tidak selesa dan tidak yakin berputik dari dalam pasukan itu sendiri.

“Anda mempunyai pemain yang berada dalam bilik persalinan skuad utama tetapi tidak berpuas hati dengan pasukan. Kemudian ada Harry, yang menerajui pemain-pemain ini 12 bulan lalu tetapi kini tercicir sebagai pilihan ketiga, keempat, kelima di posisi bek tengah.

“Jadi ada situasi yang perlu ditangani Ten Hag di situ dan saya tidak tahu sejauh mana kerosakan sudah berlaku.

“Ramai pengendali dilantik selepas Sir Alex Ferguson, pengendali-pengendali hebat yang berdepan cabaran sukar di United.

“Saya harap ia hanya permulaan musim yang sukar dan bukan ulangan kepada apa yang berlaku sebelum ini – cabaran yang berlaku kepada Jose Mourinho, Louis van Gaal, David Moyes, Ralf Rangnick dan Ole Gunnar Solskjaer.”

United akan bertemu Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah selepas permulaan terburuk di Liga Perdana Inggeris.

Mereka kini di tangga ke-13 liga dengan hanya enam mata selepas lima perlawanan.

– BERITA HARIAN