FAM Haramkan Yazan Terbabit Aktiviti Bola Sepak Di Malaysia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Selangor FC (SFC), Yazan Al-Arab ‘diharamkan’ daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak di negara ini susulan tindakannya menyepak pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, 24 September lalu.

Keputusan itu diumumkan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pemain yang sudah ditamatkan kontraknya oleh ‘The Red Giants’ didapati melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana meluru ke arah pengadil sambil mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil.

“Apabila pengadil memusingkan badan untuk pergi, pemain ini menarik bahu dan seterusnya menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada pengadil (Pertuduhan 1) dan apabila selepas dilayangkan kad merah, pemain ini secara agresif menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri dan telah meludah ke arah pengadil (Pertuduhan 2).

“Pemain ini digantung empat perlawanan bagi Pertuduhan 1 dan digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia bagi Pertuduhan 2,” kata jawatankuasa terbabit yang turut mengesahkan keputusan itu boleh dirayu.

Selain itu, Ketua Marshall SFC, Jayabalan Muniandy menerima padah paling besar kerana bukan sahaja didenda RM20,000 malah turut digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak di semua peringkat selama dua tahun berkuat kuasa 20 November 2023 hingga 19 November 2025.

Dia didapati melakukan kesalahan seperti membaling botol ke arah pengadil perlawanan, menghalau kumpulan pengadil dari bilik persalinan, melakukan provokasi dan memarahi kumpulan pengadil dengan kata-kata kesat dan lucah.

Dia juga gagal gagal menjalankan tanggungjawabnya apabila enggan menyediakan kawalan keselamatan kepada kumpulan pengadil semasa mereka bergerak meninggalkan padang permainan menuju ke bilik persalinan apabila diarahkan berbuat demikian oleh komisioner perlawanan.

Beberapa pegawai pasukan SFC turut berdepan denda bermula RM5,000 hingga RM10,000 selain digantung sehingga 10 perlawanan susulan insiden yang berlaku pada perlawanan sama.

– BERITA HARIAN