Festival Kenyir Geopark 2025 Tarik Ribuan Pengunjung Ke Pulau Poh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Festival Kenyir Geopark 2025 menampilkan konsep pelancongan lestari yang memberi tumpuan kepada pemeliharaan alam sekitar serta warisan budaya masyarakat sekitar Tasik Kenyir bakal tarik ribuan pengunjung.

Menurut Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, penganjuran festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November 2025, bukan diadakan sebagai hiburan semata-mata, tetapi turut memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan lestari dan pengukuhan ekonomi komuniti setempat.

Majlis perasmian yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah Haji Wang yang turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, YB Datuk Razali Idris serta beberapa agensi kerajaan dan masyarakat setempat yang tidak melepaskan peluang untuk merasai kemeriahan acara tahunan ini.

Turut memeriahkan suasana, persembahan silat kura-kura daripada Jabatan Kebudayaan Hulu Terengganu dan persembahan deklamasi sajak yang bertajuk “Dialek Urang Ulu’’ oleh Puan Rozila Binti Ibrahim dari Jabatan Pendidikan Daerah Hulu Terengganu.

Selain menikmati keindahan Tasik Kenyir yang tersohor sebagai tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, pengunjung turut berpeluang merasai keaslian gastronomi desa Terengganu serta menyelami cerita warisan dan budaya komuniti tempatan.

Festival ini mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik seperti sukan air, sukan rakyat, jualan usahawan tempatan, pameran interaktif, e-sukan, persembahan pentas dan konsert malam, di samping slot istimewa Kenyir Eco Talk yang menekankan kepentingan pemeliharaan alam sekitar di kawasan geopark.

Festival ini sekali lagi membuktikan bahawa Tasik Kenyir bukan sekadar destinasi pelancongan semula jadi malah simbol perpaduan antara manusia, alam dan warisan Negeri Terengganu.