FIFA Tambah Pasukan ke Piala Dunia 2026

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KIGALI – Piala Dunia di Amerika Utara pada 2026 akan bermula dengan 12 kumpulan membabitkan empat negara sekumpulan yang juga perubahan daripada perancangan format asal, 16 kumpulan membabitkan tiga pasukan kata badan induk bola sepak dunia, FIFA hari ini.

Piala Dunia seterusnya di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico akan menjadi kejohanan pertama membabitkan 48 pasukan, penambahan daripada 32 pasukan pada kejohanan tahun lalu di Qatar.

“Format yang diubah itu memastikan tiada risiko pakatan sulit dan semua pasukan dapat bermain minimum tiga perlawanan yang memberikan keseimbangan masa rehat antara pasukan yang bertanding,” kata FIFA.

Ia bermakna akan ada 104 perlawanan, penambahan besar berbanding 64 perlawanan pada kejohanan 2022 dan ia lebih banyak berbanding perancangan asal untuk Piala Dunia 2026 yang menampilkan 80 aksi.

Perancangan asal FIFA untuk 2026 ialah 16 kumpulan membabitkan tiga pasukan dengan dua negara teratas akan mara ke kelompok 32 terakhir.

Format terbaharu itu memastikan dua tempat teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati bersama lapan pasukan tempat ketiga terbaik.

Justeru, finalis dan pasukan bersaing merebut tempat ketiga dan keempat, akan bermain keseluruhan lapan perlawanan berbanding tujuh ketika ini.

Keputusan itu hadir selepas saingan dramatik dan menghiburkan pada peringkat kumpulan di Qatar yang meyakinkan FIFA bagi memikirkan semula perancangan asal untuk 2026.

– BERITA HARIAN