
KUALA LUMPUR: Dunia hiburan tanah air menyaksikan detik bersejarah apabila Umairah, 14, yang juga anak saudara Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dinobatkan sebagai Artis Baharu Wanita Popular Yang Dihangatkan oleh DOME Cafe pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37.
Kemenangan itu bukan sekadar kejayaan peribadi, malah melakar sejarah baharu apabila Umairah muncul sebagai penerima trofi termuda dalam sejarah ABPBH, sekali gus menghampiri rekod yang pernah dilakar ibu saudaranya apabila Siti Nurhaliza memenangi anugerah utama pada usia 17 tahun.
Pada ketika itu, Siti turut merangkul tiga pengiktirafan lain iaitu Artis Remaja Paling Popular, Penghibur TV Paling Popular dan Penyanyi Wanita Paling Popular, menjadikan pencapaiannya sebagai rujukan dan inspirasi generasi seterusnya.
Umairah atau nama penuhnya Ummi Umairah Saiful Anuar, mengakui langsung tidak menyangka akan membawa pulang trofi berprestij itu, apatah lagi pada usia masih muda.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas anugerah ini. Sejujurnya, saya tidak menyangka, namun anggap ini rezeki yang sangat bermakna.
“Sebagai artis baharu, saya sedar kejayaan ini tidak mungkin hadir tanpa sokongan peminat dan insan di sekeliling saya,” katanya kepada BH Online.
Umairah turut menzahirkan penghargaan kepada peminat setianya yang dikenali sebagai Umaizing, selain keluarga yang menjadi tunjang kekuatannya sejak awal penglibatan dalam industri.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa memberi semangat sejak hari pertama saya melangkah ke dunia seni.
“Tidak lupa keluarga yang tidak pernah jemu memberi sokongan, nasihat dan bimbingan. Mereka adalah sumber inspirasi saya untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Mengulas kejayaan itu, Umairah berkata, trofi berkenaan adalah impian yang sudah lama disimpan, terutama selepas membesar dengan melihat kejayaan ibu saudaranya.
“Pada usia 14 tahun, anugerah ini hadiah paling indah pernah saya terima. Ia sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran sebelum ini.
“Saya membesar melihat kejayaan Mak Iti (Siti Nurhaliza) dan daripada situ timbul impian untuk berada di pentas yang sama. Malam ini, saya rasa impian itu semakin dekat,” ujarnya.
Dalam kategori berkenaan, Umairah menewaskan saingan sengit termasuk Arabella Ellen, Auni Yusri, Qistina Rania dan Saidah Kamarudin.
Kerjaya seni Umairah bermula seawal usia lapan tahun menerusi program realiti kanak-kanak Ceria Megastar Ministar pada 2019, yang menjadi platform awal memperkenalkan bakatnya kepada khalayak.
Langkahnya dalam bidang nyanyian semakin kukuh apabila tampil dengan lagu seperti Tak Balik Raya dan Sayap, yang memperlihatkan kematangan vokal di sebalik usia muda serta karisma tersendiri di pentas.
Selain nyanyian, Umairah turut melebarkan bakat dalam bidang lakonan menerusi drama Tolong Sempurnakan Cerita Mami, sekali gus menambah dimensi dalam perjalanan seninya.
Kini berada di bawah pengurusan SN Legacy Sdn Bhd, syarikat milik Siti Nurhaliza, Umairah menerima bimbingan secara tersusun bagi membina pengalaman dan kematangan sebagai anak seni.
Tahun ini, Umairah turut melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan peribadi apabila memilih untuk berhijab, satu keputusan yang diterima baik peminat dan rakan industri, sekali gus menambah sinar positif terhadap imej serta perjalanan seninya.
Sumber: BERITA HARIAN





