
KUALA LUMPUR: Kemenangan tipis 1-0 yang dilakar Malaysia ke atas Palestin bukan sahaja memberi tambahan mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) malah turut mencatat rekod tersendiri.
Jaringan tunggal Joao Figueiredo seawal minit ketiga pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menyaksikan skuad negara melakar kemenangan pertama ke atas Palestin selepas 24 tahun.
Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan adalah pada Kelayakan Piala Dunia 2018 yang berlangsung pada 2015 menyaksikan Malaysia dibelasah Palestin 0-6.
Kemenangan itu membolehkan skuad negara melakar kemenangan kedua ke atas Palestin dalam lima pertemuan dengan kemenangan pertama dilakar pada 2001 ketika Malaysia menang 4-3.
Keputusan ini turut membantu skuad negara melakar rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan di bawah kendalian jurulatih baharu, Peter Cklamovski.
Sementara itu, prestasi penyerang berdarah warisan baharu, Figueiredo jelas sedang ‘meletup’ selepas cemerlang menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan pertama buat skuad kebangsaan.
Penyerang Johor Darul Ta’zim itu menemui jaringan ketika menentang Vietnam, Singapura dan Palestin untuk membantu skuad negara meraih kemenangan dalam tiga aksi terbabit.
Pencapaian ini meletakkan bekas penggempur Istanbul Basaksehir itu sebaris dengan legenda seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan Nizaruddin Yusof yang turut mencetak tiga gol dalam tiga perlawanan pertama.
Berdasarkan prestasi memukau ini, penyerang berusia 29 tahun ini pasti terus menjadi pilihan utama Cklamovski dalam tugasan antarabangsa selepas ini.
Skuad kebangsaan akan meneruskan aksi antarabangsa membabitkan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di tempat lawan dan tempat sendiri, bulan depan.
Sumber : BERITA HARIAN





