Ingatkan Gastrik, Rupanya Ketumbuhan Dalam Kepala

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JITRA – Seorang ibu tidak dapat menahan sebak selepas mengetahui anak sulungnya menghidap kanser otak selepas pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar yang mendapati terdapat ketumbuhan dan cecair dalam kepalanya.

Menurut Sharifah Noraliza Sharif Nordin, 38, anaknya, Nur Iman Syamimi Muhammad Shaukhi, 13, kini terlantar di atas tilam kerana tidak dapat berjalan, selain penglihatannya juga kabur sejak tiga bulan lepas.

Katanya, anaknya itu mula jatuh sakit sejak Januari lalu apabila tidak lalu makan dan perge­rakannya tidak stabil.

“Dia juga kerap mengalami pening dan sakit perut. Bila pergi ke klinik, doktor mengatakan dia ada gastrik, selain kemungkinan menghidap tiroid.

“Pada Ogos lepas kami bawa dia ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan buat CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) nampak ketumbuhan dan cecair dalam kepalanya.

“Dia jalani beberapa pembedahan untuk buang ketumbuhan dan pasang tiub bagi buang cecair itu,” katanya ketika ditemui di Padang Perahu di sini kelmarin.

Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal hadir untuk menghulurkan sumbangan sebagai tanda prihatin dengan nasib yang menimpa Nur Iman Syamimi.

Sharifah Noraliza membe­ritahu, walaupun terkejut de­ngan penyakit yang dihidapi anak ­syurganya itu, namun mereka sekeluarga reda dan mendoakan agar Nur Iman Syamimi sembuh seperti sediakala satu hari nanti.

“Awal dulu memang terkejut dan Mimi sendiri tidak dapat menerimanya. Dia sering bertanya kenapa Tuhan bagi dia ujian macam ini? Kemudian lama- kelamaan dia dapat menerima juga dengan mengatakan ujian ini kerana Tuhan nak bagi syurga.

“Sejak tiga bulan lepas, kesihatannya memburuk dan terlantar sahaja. Dia masih bersemangat untuk sembuh dan kembali ke sekolah,” katanya.

Tambahnya, setakat ini keluarganya tidak menerima apa-apa bantuan untuk meringankan beban terutama menampung perbelanjaan rawatan Nur

Iman Syamimi yang terpaksa berulang alik ke Hospital Pulau Pinang untuk kemoterapi, selain menyediakan lampin pakai buang serta susu khas untuknya.

Katanya, suami, Muhammad Shaukhi Ghazali, 43, hanya be­kerja sebagai buruh kampung dengan pendapatan RM700 sebulan.

“Kami cuba minta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun belum ada jawapan,” kata ibu kepada tiga anak ini.

Mereka yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Sharifah Noraliza, 09010020561955 (Bank Islam).

Sumber: Kosmo