Israel Serang Satu Lagi Sasaran Gaza Selepas Serangan Malam Paling Dahsyat Sejak Gencatan Senjata

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BANDAR GAZA: Israel berkata, pihaknya menyerang stor simpanan senjata di Gaza semalam, beberapa jam selepas pengeboman paling dahsyat sejak gencatan senjata diusahakan Amerika Syarikat (AS) bermula.

Tel Aviv turut memberi amaran operasi akan diteruskan bagi menumpaskan ancaman yang sudah dikenal pasti.

Rejim Zionis mengumumkan sudah melancarkan serangan tepat ke atas lokasi di kawasan Beit Lahia, utara Gaza, dikatakan diguna untuk menyimpan senjata bagi ‘serangan pengganas yang bakal dilancarkan’.

Katanya, pasukan tentera Israel (IDF) akan kekal dikerah, ‘selaras perjanjian gencatan senjata dan terus menjalankan operasi menyingkirkan sebarang ancaman segera’.

Sementara itu, Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza, melaporkan dua rakyat Palestin terbunuh dalam serangan itu.

Agensi pertahanan awam wilayah ditadbir Hamas itu pula memaklumkan seramai 104 orang, termasuk 46 kanak-kanak dan 24 wanita maut akibat pengeboman, malam sebelumnya.

IDF melancarkan siri serangan udara selepas seorang anggotanya terbunuh di Gaza kelmarin, selain berkata ‘penguatkuasaan semula gencatan senjata’ dimulakan menjelang pagi semalam. Katanya, serangan dilancarkan itu menyasarkan 30 pejuang kanan, manakala Menteri Pertahanan, Israel Katz, menegaskan ‘puluhan komander Hamas sudah dibunuh’.

Israel berkata, siri serangan itu dilancarkan selepas Sarjan Mejar Simpanan, Yona Efraim Feldbaum, 37, maut di Rafah apabila kenderaan kejuruteraannya terkena tembakan musuh.

Hamas pula berkata, pihaknya ‘tiada sebarang kaitan dengan insiden tembakan di Rafah’, selain menegaskan semula komitmennya terhadap gencatan senjata yang disokong AS. Hamas juga menangguhkan penyerahan, dikatakan mayat tebusan yang meninggal dunia, sambil memberi amaran sebarang ‘peningkatan serangan bakal menjejaskan usaha pencarian, penggalian dan pengambilan semula mayat’.

Presiden AS, Donald Trump, dan pihak perantara serantau Qatar, pula menjangkakan gencatan senjata itu akan bertahan, manakala rakyat di Gaza semakin hilang harapan.

Ibu yang menetap bersama anaknya di sekolah dekat kem pelarian Al-Shati, Khadija al-Husni, 31, berkata mereka baru mula menarik nafas lega dan cuba bina semula kehidupan ketika insiden pengeboman berlaku. “Ini perbuatan jenayah. Laksanakan gencatan senjata atau perang, tidak boleh kedua-duanya sekali. Anak tak dapat tidur, mereka sangka perang sudah berakhir.”

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menerusi jurucakapnya, Stephane Dujarric, semalam, mengecam sekeras-kerasnya ‘pembunuhan orang awam di Gaza akibat serangan udara Israel, termasuk ramai kanak-kanak’.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, pula menyifatkan laporan mengenai jumlah kematian yang tinggi itu sangat mengejutkan, sambil menggesa semua pihak tidak mengeksploitasi gencatan senjata.

Ia seiring gesaan Britain, Jerman dan Kesatuan Eropah supaya semua pihak komited terhadap pelaksanaan gencatan senjata.

Sumber : BERITA HARIAN