Jaga Tatacara Pemasangan Jalur Gemilang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Dalam keghairahan menyambut Hari Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati menjaga tatacara pemasangan supaya jangan tersilap.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Kelantan Muhd Nor Aswadi Md Nor yang menitipkan pesanan itu berkata orang ramai perlu memasang Jalur Gemilang dengan betul, terutamanya memastikan agar ia tidak terbalik, dan bendera itu cukup segala sifatnya.

“Pihak jabatan ada menerbitkan bahan berkaitan Jalur Gemilang, dan orang ramai boleh memuat turun maklumat mengenai tatacara pemasangan bendera, di laman sesawang Jabatan Penerangan Malaysia. Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia mulai 16 Ogos sehingga 16 September depan.

“Kita juga berkerjasama rapat dengan pelbagai komuniti MADANI dan rakan media bagi memberi penjelasan mengenai tatacara berinteraksi dengan bendera melalui kaedah tertentu,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan Kempen Semarak Gemilang di Pasar Warisan Pengkalan Datu dengan menyertai perarakan sebanyak 22 buah bot membawa Jalur Gemilang.

— BERNAMA