Jangan Sentuh Isu 3R, Bahaya Kepada Perpaduan – MB Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menasihati rakyat agar tidak menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) yang sangat berbahaya kepada perpaduan serta keharmonian negara

Beliau berkata isu 3R berisiko menyebabkan berlakunya jurang lebih besar antara kaum selain boleh melahirkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama.

Pada masa sama, Wan Rosdy berharap rakyat mengamalkan politik matang dan bukannya politik serang-menyerang sepanjang masa bagi membolehkan usaha membangunkan negara yang giat dilaksanakan Kerajaan Perpaduan berjalan seperti diharapkan.

“Sekarang masa untuk membangunkan negara dan negeri. Jika tidak, ia akan lebih teruk pada masa akan datang… ekonomi merundum, pendapatan negara turun dan hutang negara tinggi. Pada masa itu, tidak ada gunanya untuk menyesal,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Pahang di Dataran Bandar Diraja Pekan malam ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib, yang juga Pengerusi Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang serta barisan pentadbiran negeri.

Wan Rosdy juga berkata program menyemarakkan semangat patriotik harus kerap diadakan bagi mengingatkan rakyat khususnya generasi muda bahawa kemerdekaan yang dinikmati adalah hasil usaha serta pengorbanan dan kebijaksanaan pemimpin terdahulu.

— BERNAMA