JDT ‘Baham’ Selangor

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PETALING JAYA: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak memberi muka kepada Selangor FC (SFC) apabila membelasah lawan itu 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Keputusan itu jelas memberikan ‘luka berganda’ kerana SFC bukan sahaja terlepas tiga mata namun rekod tanpa kalah Tan Cheng Hoe dalam Liga Super juga turut berakhir.

Skuad Harimau Selatan pula terus unggul dengan kemenangan bersih – lima kemenangan daripada lima perlawanan Liga Super.

JDT memiliki beberapa peluang untuk mendapatkan gol menerusi gerakan Oscar Arribas pada minit ke-11 dan Diogo Santo (m15) tetapi Sharul Nazeem Zulpakar berjaya ‘menghidu’ sekali gus mematikan ‘ancaman’ terbabit.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-26 menerusi gerakan daripada sebelah sayap kanan, sayangnya percubaan Faisal Halim hanya ‘jinak’ ke arah Ahmad Syihan Hazmi.

Penguasaan yang ditunjukkan pelawat tidak cukup untuk mengubah kedudukan perlawanan di mana mereka dikecewakan dengan penyudah tumpul untuk kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

‘Mimpi ngeri’ SFC bermula pada babak kedua yang menyaksikan jaringan Juan Muniz pada minit ke-54 menjadi ‘pembuka jalan’ kepada ‘kenduri’ JDT malam ini.

Diogo yang beberapa kali dikecewakan pada babak pertama berjaya meletakkan nama selaku penjaring kedua pada minit ke-65 selepas rembatan leretnya gagal diselamatkan Khairul Azhan Khalid.

‘Malam derita’ SFC di laman sendiri berterusan pada minit ke-75 apabila JDT sempat bermain ‘futsal’ di hadapan gol SFC yang disudahkan Forestieri sebelum Forestieri meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-82.

Sumber: BERITA HARIAN