JDT Tekad Bangkit, Belajar Daripada Kesilapan – Muñoz

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mahu kesebelasan Harimau Selatan kembali bangkit melakar kejayaan setelah tewas 1-2 kepada Buriram United pada aksi Kumpulan A, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), di Chang Arena, Buriram, Thailand pada Selasa.

Menurutnya, kesebelasan pemain juga perlu belajar daripada kesilapan bagi mengharungi perlawanan-perlawanan akan datang.

“Banyak perkara sebenarnya yang kami berjaya lakukan dalam situasi tertentu, terutamanya ketika menguasai permainan dan menyerang.

“Walaupun JDT mempamerkan banyak perkara positif di sepanjang perlawanan, namun perlu diingatkan bahawa dalam bola sepak, kita tidak boleh memberikan ruang serta peluang kepada pihak lawan terutamanya dalam kotak penalti.

“Ini kerana, ada ketikanya, perkara sebegini boleh mengubah rentak perlawanan. Apa yang penting, kita perlu terus belajar daripada kesilapan ini serta memperbaiki kelemahan dan cuba memberikan sesuatu yang lebih baik pada perlawanan seterusnya,” katanya selepas perlawanan.

Pada aksi berkenaan, JDT meledak gol pembukaan menerusi rembatan Antonio Glauder pada minit ke-28.

Bagaimanapun, Suphanat Muenta menggamatkan Chang Arena apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-50 sebelum pemain import dari Austria, Robert Zulj menjaringkan gol kedua skuad Thunder Castle itu yang juga merupakan gol kemenangan pasukan pada minit ke-54.

Sementara itu, Munoz tetap optimis dengan kemampuan pemain untuk kembali bangkit pada perlawanan berikutnya.

“Saya menaruh keyakinan terhadap pemain-pemain saya dan kerana tahu mereka pasti akan bangkit dan menghasilkan lebih banyak kejayaan musim ini,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN