
KUALA LUMPUR, 21 Januari – Kadar kemalangan di zon smart lane direkodkan pada tahap yang sangat rendah dan tidak signifikan berbanding jumlah kenderaan yang melalui kawasan tersebut.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, analisis di beberapa lokasi mendapati berlaku penurunan ketara kadar kemalangan selepas pengaktifan smart lane.
Menurut beliau, laluan Putra Mahkota ke Southville mencatatkan pengurangan kemalangan sehingga 22 peratus, manakala laluan R&R Rawang ke Persimpangan Rawang merekodkan penurunan sehingga 74 peratus berbanding sebelum smart lane diaktifkan.
“Majoriti insiden kemalangan yang direkodkan bukan berpunca daripada reka bentuk jalan, sebaliknya disebabkan oleh kecuaian manusia,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib, pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.
Beliau berkata, antara bentuk kecuaian yang sering direkodkan termasuk memandu melebihi had laju, pertukaran lorong secara berbahaya tanpa memberi isyarat serta pencerobohan lorong kecemasan di luar waktu operasi smart lane.
Tambahnya, bagi jangka panjang, Kementerian Kerja Raya (KKR) komited untuk beralih daripada penyelesaian sementara kepada pembangunan infrastruktur yang lebih mampan.
Antara inisiatif utama yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk Projek Pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Senai Utara ke Machap yang dilaksanakan secara berfasa, serta Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) bagi mengurangkan kesesakan di utara Semenanjung.
Sumber : BERITA RTM





