Kapal Kedua Dengan 400 Tan Barangan Bantuan Menuju Ke Gaza

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LARNACA – Kapal kedua yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza berlayar dari Cyprus pada Sabtu selepas penghantaran terakhir melalui laut tiba lebih dua minggu lalu.

Hampir 400 tan barangan bantuan sedang dibawa ke Gaza dengan kapal tongkang flotilla itu oleh dua badan amal – World Central Kitchen yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan Spanish Open Arms dari Sepanyol.

Flotilla bersama-sama dua kapal itu meninggalkan pelabuhan Larnaca selepas usaha diplomatik oleh Cyprus untuk cuba membuka koridor maritim ke wilayah itu, yang dikepung tentera Israel sejak Oktober tahun lalu.

Wakil World Central Kitchen, Juan Camilo berkata, bantuan yang sampai ke Gaza tidak mencukupi dan mereka perlu membuka seberapa banyak cara yang mungkin.

Susulan trak bantuan disekat daripada memasuki Gaza melalui jalan raya, amaran kebuluran berlipat ganda sekali gus mendorong usaha antarabangsa untuk menghantar bantuan ke wilayah itu melalui udara atau laut.

Agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sudah berulang kali menegaskan bahawa penghantaran darat adalah satu-satunya cara untuk membekalkan bantuan dalam jumlah yang diperlukan.

World Central Kitchen berkata, penghantaran dari Cyprus mengandungi barangan seperti beras, pasta, tepung, bijirin, sayur-sayuran dalam tin dan protein.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyediakan kargo khas kurma, yang secara tradisinya dimakan ketika berbuka puasa setiap hari sepanjang bulan suci Ramadan, kata badan amal itu.

Jurucakap kerajaan Cyprus, Konstantinos Letymbiotis berkata, flotila mengambil masa kira-kira 65 jam untuk sampai ke Gaza yang mana sebuah dermaga sementara dibina untuk memunggah bantuan kemanusiaan.

Kapal pertama, Open Arms, tiba di Gaza bersama tongkang yang dimuatkan dengan 200 tan makanan pada 15 Mac lalu, dalam percubaan untuk membuka koridor bantuan maritim, namun cuaca buruk di timur Mediterranean menghalang pelayaran kedua. – AFP