Kapal Nelayan Vietnam Ceroboh Perairan Negara Lengkap Teknologi Canggih

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH: Segelintir kapal nelayan asing dari Vietnam mempunyai teknologi canggih mampu mengesan lokasi ikan yang banyak.

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Komander Amiludin Yenggah, berkata kelebihan itu mendorong mereka menceroboh perairan negara sehingga Pahang.

“Bukan semua ada, segelintir memang ada teknologi yang mampu mengesan lokasi ada banyak ikan. Ada bot Vietnam sanggup masuk hingga perairan Pahang, bayangkan jauh mereka ceroboh perairan negara untuk dapatkan ikan.

“Mereka nekad sedangkan tahu ia salah. Pada masa sama, ikan di perairan negara mereka tiada, jadi Malaysia jadi sasaran. Bekalan ikan di Malaysia banyak, jadi tumpuan nelayan asing. Kita tak mahu nasib Malaysia nanti sama seperti mereka, hasil ikan berkurangan.

“Disebabkan itu kawalan perairan negara sentiasa diperketatkan,” katanya menambah nelayan asing yang ditahan juga enggan memberi kerjasama mendedahkan siapa di belakang mereka sehingga berani menceroboh perairan negara.

“Mereka tidak mendedahkan walaupun ditangkap, mungkin bimbang nasib keluarga di Vietnam yang terancam. Disebabkan itu, kita sukar menjejak dalang di sebalik pencerobohan nelayan asing,” katanya.

– BERITA HARIAN