Kebakaran Hutan Gambut Reda Guna Air Parit

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kebakaran di Hutan Gambut milik Jabatan Pertanian yang turut menempatkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) merupakan kebakaran terburuk pernah berlaku.

Cuaca panas kering dan angin kencang serta tanah gambut menjadi faktor utama kebakaran mudah berlaku dan sukar dipadam.

Oleh itu, empat unit pam telah dibekalkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyedut air parit untuk disalurkan ke kawasan hutan tanah gambut di Inderapura, Kuantan yang terbakar sejak Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Muhd Rizal Baharom berkata, air dalam parit utama dalam kawasan hutan terbabit disedut kemudian disalirkan ke kawasan hutan berkenaan, kaedah yang digunakan itu diharap dapat memadam dan mengawal api daripada terus merebak ke kawasan lebih luas lagi.

Katanya lagi, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini giat berusaha memadam dan mengawal kebakaran secara berterusan bagi mengelak daripada terus merebak ke kawasan lebih luas lagi.

Hasil laporan, kebakaran kali ini turut menyebabkan kerugian pada sebahagian 21 pekebun yang mengusahakan pelbagai tanaman sayur menggunakan sistem fertigasi apabila para tanaman mereka runtuh selain polibeg tanaman timun musnah terbakar.

-BHARIAN