Kelantan Mohon Peruntukan Lebih RM8 Bilion Atasi Isu Bekalan Air

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Bagi menyelesaikan isu bekalan air, kerajaan Kelantan memohon peruntukan lebih RM8 bilion daripada Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, permohonan dibuat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penyelesaian jangka masa pendek dan panjang.

Menurutnya, peruntukan untuk pembinaan takungan air pinggiran sungai (TAPS) di Machang untuk jangka pendek sudah diluluskan sebanyak RM630 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kita cuma nak buat tangki dan juga loji di kawasan itu dengan nilai lebih RM1.56 juta. Keduanya, kita akan baiki paip sepanjang lebih 3,500 kilometer (km).

“Kita buat permohonan sebanyak RM1.7 bilion untuk projek ini bagi menyelesaikan masalah air di Kota Bharu Utara.

“Untuk Kota Bharu Selatan pula, kita akan ambil air dari Empangan Nenggiri dan akan berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebab kita nak guna ‘tenaga’ untuk ambil air itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga bercadang untuk membina loji bagi menyelesaikan masalah air di Kota Bharu Selatan membabitkan kos sebanyak RM4 bilion bagi penyelesaian jangka masa pendek.

Katanya, bagi jangka masa panjang pula, Kelantan akan bina lima lagi loji air iaitu di Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh dengan jumlah keseluruhan permohonan untuk penyelesaian isu bekalan air di negeri ini adalah lebih RM8 bilion.

“Perdana Menteri minta kita buat kajian semula dan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk bincang. Begitu juga Kerajaan Persekutuan yang turut akan menubuhkan jawatankuasa sendiri.

“Kita akan bincang bagaimana dan keutamaan (projek) untuk menyelesaikan masalah air. Perdana Menteri tidak menolak permohonan kita, namun beliau mahu beri kepada keutamaan dahulu (selesai masalah air),” katanya.

Katanya, beliau berharap rakyat Kelantan bersabar kerana kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah air itu.

Sumber: METRO