Kerajaan Salur Lebih RM100 Juta Untuk Imam, Bilal, Guru Takmir, KAFA Di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM103,863,258 kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Kelantan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan berkenaan membabitkan RM3.6 juta kepada 341 guru takmir yang disalurkan pada April lalu.

Selain itu katanya, bagi menghargai sumbangan imam, bilal, siak, guru takmir seramai 2,605 orang dalam pengimarahan masjid khusus di Kelantan, bayaran khas sebanyak RM600 secara ‘one-off’ diberikan kepada mereka membabitkan RM1.5 juta.

“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi imam, bilal, siak dan guru takmir di Kelantan tahun ini adalah sebanyak RM17.7 juta yang membabitkan seramai 6,721 orang. Selain itu, caruman kerajaan sebanyak RM232.80 seorang bagi Pakej Program Perlindungan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga diteruskan kepada imam, bilal, siak dan guru takmir dengan peruntukan RM606,444 setahun.

“Kerajaan juga bersetuju meneruskan bayaran bantuan khas sebanyak RM3.2 juta kepada 5,470 guru KAFA yang mencurah bakti mendidik anak bangsa. Jumlah peruntukan elaun guru KAFA bagi negeri ini adalah RM82.7 juta.

“Secara keseluruhannya, Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM103,863,258 kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Program Jelajah Madani Ulama dan Umara Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan juga melalui Yayasan Taqwa (MAIWP) menyalurkan sumbangan bantuan musibah negeri Kelantan sebanyak RM2,654,175 iaitu bina baharu kediaman sebanyak RM829,225, membaik pulih rumah adalah RM1,536,250, membaik pulih masjid dan surau pula RM278,700 dan membaik pulih institusi pendidikan sebanyak RM10,000.

“Kerajaan juga secara jelas mahukan agensi Islam menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pengurusan dan tata kelola.

“Ini adalah cabaran yang mesti kita sahut bersama sama ada di peringkat Persekutuan dan juga di negeri. Umpamanya dalam aspek pengurusan kewangan serta tata kelola pentadbiran hal ehwal Islam yang berintegriti perlu dititik beratkan oleh kita semua,” katanya.

Sumber: METRO