Kerajaan Saran Naikkan Cukai Vape 10 Kali Ganda

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan kenaikan cukai ke atas cecair rokok elektronik atau vape sebanyak 10 kali ganda daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter (ml).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2026 bagi menyelaraskan kadar cukai produk vape dengan produk tembakau konvensional.

“Saya ingin berkongsi maklumat mengenai ringkasan penyelarasan produk merokok. Satu batang rokok bersamaan 10 sedutan, satu kotak rokok mengandungi 200 sedutan, manakala 1ml cecair vape bersamaan 100 sedutan.

“Kadar cukai yang dicadangkan ialah daripada 40 sen kepada RM4 setiap ml, dan ini merupakan cadangan daripada pihak KKM untuk dipertimbangkan oleh MOF,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN–Tasek Gelugor) mengenai jaminan kerajaan untuk menyelaraskan kadar cukai cecair nikotin dalam vape dengan cukai rokok dalam Belanjawan 2026.

Katanya, perbandingan kandungan menunjukkan bahawa satu kotak rokok bersamaan lebih kurang 2ml cecair vape, namun cukai bagi 1ml nikotin hanyalah 40 sen, kira-kira 10 peratus daripada kadar cukai rokok.

“Ini menyebabkan jurang cukai yang besar dan mendorong pengguna beralih kepada vape. Selain itu, tiada harga lantai ditetapkan bagi produk vape seperti yang dikenakan ke atas rokok,” tegasnya.

Sementara itu, Lukanisman mengulangi pendirian bahawa KKM sedang bergerak ke arah larangan menyeluruh terhadap penggunaan vape, dengan cadangan tersebut dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun ini.

Menurutnya, dianggarkan sebanyak RM244.8 juta telah dibelanjakan setakat ini bagi merawat penyakit E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) yang berpunca daripada penggunaan vape.

Jelas beliau, angka itu diperoleh melalui Analisis Kesan Peraturan (RIA) yang dilaksanakan KKM sebelum ini.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, kita mungkin terpaksa membelanjakan antara RM300 juta hingga RM400 juta menjelang tahun 2030.

“Justeru, bagi mengelakkan pembaziran dalam rawatan penyakit akibat vape, KKM akan mengemukakan memorandum kepada Jemaah Menteri bagi mempertimbangkan pengharaman sepenuhnya produk vape.

“Daripada kita terus berperang dengan rokok dan vape, lebih baik kita hapuskannya kerana ia satu bentuk mudarat yang sedang menular,” katanya.

Tambahnya lagi, sehingga kini sebanyak 46 kes EVALI dengan komplikasi serius pada paru-paru direkodkan, manakala 45 kes bukan EVALI melibatkan komplikasi kesihatan lain turut berpunca daripada penggunaan vape.

“Sebelum jumlah kes meningkat lebih tinggi, lebih baik kita menjurus kepada pengharaman sepenuhnya vape seperti yang dilakukan beberapa negara ASEAN termasuk Brunei, Laos dan Singapura.

“Setakat ini, 37 negara di dunia telah mengharamkan vape, dan langkah itu terbukti memberi kesan positif,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN